Home » Langit Terbuka » Jangan salah guna nama Islam bagi lariskan produk

Jangan salah guna nama Islam bagi lariskan produk

KUALA LUMPUR 7 Februari – Islam tidak menggalakkan nama dan istilah dalam agama itu dieks­ploitasi untuk tujuan pemasaran sekali gus melariskan produk jualan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana pelabelan produk seperti ‘makanan sunah’ atau ‘minuman sunah’ boleh mengelirukan dan memperdayakan orang lain.

“Perkara ini tidaklah sampai ke tahap merosakkan akidah, tetapi apa justifikasi kita bagi menentukan makanan atau minuman itu benar-benar sunah sedangkan ramai juga yang mendakwa produk keluaran mereka juga adalah sunah?

“Jadi saya bimbang fenomena sunah ini menyebabkan masing-masing berlumba-lumba mengeluarkan produk yang sunah sedangkan kita tidak tahu adakah ia benar-benar sunah?

“Apakah kayu pengukur yang digunakan bagi mendakwa bahawa produk tersebut memenuhi ciri-ciri sunnah?” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengenai semakin banyak golo­ngan peniaga sudah berani menggunakan hadis semata-mata mahu me­lariskan perniagaan termasuk mendakwa produk mereka pernah digunakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Mohammad Syukri berkata, di dalam Islam, sebarang pengeluaran yang memenuhi konsep dan syariat halalan toyyiban (bersih) sudah jatuh dalam ka­tegori sunah kerana mengikut ajaran baginda Rasulullah.

Katanya, apa yang penting dalam bermuamalat adalah mencari keredaan Allah dan ke­rana itu tidak perlulah mendakwa apa-apa produk sebagai sunah dengan niat melariskan barangan.

“Tidak memperdaya, tidak menipu dan tidak ada sebarang muslihat sehingga sanggup me­ngaitkan dengan Islam, sedangkan Islam tidak menentukan sebarang produk mesti dilabelkan dengan perkataan sunah.

“Ini termasuklah juga mendakwa air minuman yang telah ditawaf atau dibacakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan sebagainya. Sedangkan ia hanyalah air galian semata-mata. Jadi tidak perlulah dikaitkan dengan sebarang perbuatan ibadat dan kemudiannya dijual dengan harga yang mahal,” katanya.

Katanya, jika hanya kerana sesuatu produk itu menggunakan bahan-bahan yang istimewa sehingga harganya juga menjadi ‘istimewa’, maka itu tidak lagi sunah.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *