PUTRAJAYA: Peranan zakat tidak boleh dipandang ringan bagi memastikan bantuan disalurkan membawa perubahan signifikan kepada golongan sasar, sekali gus membantu usaha pembasmian kemiskinan dan meningkatkan ekonomi umat Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata zakat juga berperanan sebagai wahana untuk mengecilkan jurang kekayaan antara golongan kaya dan miskin serta meningkat ekonomi umat Islam secara amnya.
Beliau berkata, dalam konteks Malaysia, institusi zakat memainkan peranan penting dalam memastikan kutipan dan agihan zakat diadakan secara adil dan efektif.
Katanya, bagi mencapai tujuan itu enam rukun MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan menjadi tonggak utama dalam memperkukuhkan peranan zakat.
“Secara tidak langsung ia dapat membantu meningkat kesejahteraan dan keseimbangan sosial dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Muzakarah Zakat Kebangsaan Ke-10, di sini hari ini.
Zulkifli berkata, kemampanan dalam konteks zakat merujuk kepada usaha memastikan kutipan zakat dan agihan dapat memberi kesan jangka panjang kepada penerima.
Katanya, penerima zakat tidak hanya dibantu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan tetapi juga dibimbing untuk membangun masa depan dengan lebih baik dengan program kemampanan terancang seperti latihan keusahawanan dan bantuan modal perniagaan.
KOMEN