Home » Langit Terbuka » Jangan menilai, ia hanya pertemuan biasa

Jangan menilai, ia hanya pertemuan biasa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, temujanji dengan Zakir Naik itu sekadar berkongsi pandangan terhadap pelbagai isu termasuk cabaran media sosial dan menyampaikan hasrat kerajaan menerusi pendekatan gagasan Rahmatan Lil Alamin. - Foto Internet

BANGI: Pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, dengan pendakwah kontroversi, Zakir Naik semalam, adalah pertemuan biasa.

Mujahid berkata, temujanji yang berlangsung itu sekadar berkongsi pandangan terhadap pelbagai isu termasuk cabaran media sosial dan menyampaikan hasrat kerajaan menerusi pendekatan gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Katanya, sebagai menteri agama, beliau jumpa semua orang tanpa mengira sesiapa.

“Tidak ada isu pun di situ, cuma media sosial kata sebelum ini saya menghentam beliau (Zakir), sedangkan tidak,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas perasmian penutup Seminar Gagasan Rahmatan Lil’Alamin di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Mujahid berkata, sejak awal lagi pandangan beliau mengenai pendekatan dibawa Zakir tidak sesuai, sudah dimanipulasi.

Katanya, kenyataan itu dipetik ketika berucap dalam satu majlis di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), tahun lalu.

“Saya sentuh mengenai pendekatan tidak sesuai dengan kita. Itu saja dan tidak ada isu pun, bukan salah saya.

Cuma netizen mainkan isu ini. (Sehingga) Nampak sangat saya tidak suka Zakir, tetapi sebenarnya tidak. Susahlah kalau netizen buat rumusan,” katanya.

Pada ucaptama Seminar Kebangsaan Isu dan Cabaran Dalam Hubungan Masyarakat Majmuk, IKIM tahun lalu, Mujahid dilaporkan berkata kaedah diterapkan Zakir yang sering dianggap merendahkan agama lain, menggunakan kaedah yang tidak sesuai dengan budaya negara ini.

Sementara itu, Mujahid berkata, apa yang penting buat dirinya sekarang ialah untuk menyampaikan konsep dan pendekatan gagasan Rahmatan Lil Alamin mengikut acuan Malaysia.

Pertemuan antara Mujahid dengan Zakir itu turut dimuat naik dalam laman sosial Facebook Mujahid.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *