Home » Langit Terbuka » Jangan melenting apabila ditegur

Jangan melenting apabila ditegur

Perdana Menteri menegaskan, penjawat awam perlu membuat pembetulan jika ada asas terhadap sesuatu teguran yang diterima mereka. - Foto ProjekMM

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan penjawat awam supaya tidak melenting apabila ditegur, sebaliknya mencari jalan untuk memperbetulkan perkara terbabit jika ia berasas.

Perdana Menteri berkata, kebelakangan ini, beliau membaca laporan dalam akhbar mengenai mutu perkhidmatan penjawat awam yang tidak efisien seperti dahulu dan perlu diberikan perhatian.

“Bila kita ditegur, jangan melenting tetapi ambil kira sama ada ia berasas atau tidak. Jika ada asas, maka hendaklah betulkan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perdana Menteri berkata, agensi bawah JPM juga mempunyai masalah tertentu apabila ada pegawai mahupun kakitangan bertugas dengan orang ‘tidak sebulu’ atau tidak sesuai dengan mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam pada semua peringkat tanpa mengira kedudukan agar mengamalkan sikap bertoleransi, bekerjasama dan menerima kelainan bagi memastikan tugas berjalan lancar.

“Dalam kehidupan ini, kita akan bercampur dengan pelbagai kawan dan kadang-kadang lawan. Ini bermakna kita perlu ada hubungan baik dengan sesiapa saja dan perlu ada sikap toleransi bagi mententeramkan keadaan di sekeliling.

“Kalau tidak bertoleransi dan bertimbang rasa, sukar bagi kita menjalankan tugas serta bekerjasama dalam sesuatu badan (agensi),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan baharu mengambil alih dalam tempoh setahun dan dalam tempoh itu, sudah tentu ada banyak masalah membabitkan penjawat awam.

“Sesetengah itu dapat diatasi, jadi hubungan antara lama dan baik (antara penjawat awam) kena kita atasi.

“Sebab itu dalam bulan raya ini, kita sebut maaf zahir batin, ini kena amalkan. Kalau ada sesuatu tidak disenangi, pentingnya kita bermaafan supaya dapat kerjasama dalam usaha mentadbir negara dengan baik supaya semua dapat manfaat,” katanya.

Mengambil peluang sempena Syawal yang masih berbaki beberapa hari lagi, Dr Mahathir berkata, dalam pada umat Islam bergembira menganjur dan menghadiri majlis rumah terbuka, perlu juga menginsafi diri dengan mengingati orang kurang bernasib baik.

“Memang baik bagi kita merayakan rumah terbuka kerana di situ semua dapat duduk, makan dan bersembang bersama. Ini dapat merapatkan hubungan antara kaum kerana saya lihat ramai orang bukan Islam hadir dan mereka juga merayakannya.

“Namun kita juga perlu sedar, ketika kita mengadakan jamuan makan, iaitu bukan kerana lapar tetapi sebagai acara perayaan, sebaliknya banyak negara di dunia, makanan pun tak ada, jauh sekali nak buat rumah terbuka.

“Sebab itu, kita perlu sedar ada orang nasibnya tidak begitu baik. Oleh itu, kita akan rasa insaf dan tidak keterlaluan apabila berbuat sesuatu,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *