MADINAH: Imam dan khatib Masjid Nabawi, Sheikh Solah Muhammad Al-Budair mengingatkan agamawan dan ilmuwan agar tidak malu mengaku “tidak tahu” sekiranya mereka benar-benar tidak jelas mengenai sesuatu hukum agama ketika menyampaikan ilmu kepada masyarakat awam.
Beliau berkata agamawan perlu meneladani keilmuan ulama mazhab tersohor Imam Malik yang tidak berasa janggal untuk mengaku tidak tahu apabila ditanya persoalan fatwa dan hukum.
“Ulama terdahulu yang menghafal ratusan hadis nabi sentiasa amanah dalam menyampaikan ilmu dan tidak akan berfatwa berkaitan perkara yang tidak jelas.
“Kita tidak boleh mencontohi sebahagian ilmuwan zaman ini yang mana mereka muncul di kaca televisyen dan terus bercakap tentang hukum agama tanpa pengetahuan kukuh,” katanya ketika berucap dalam sesi ramah mesra bersama peserta program tetamu Penjaga 2 Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, yang terpilih menunaikan ibadah umrah, Khamis malam.
Sheikh Solah turut berpesan kepada peserta supaya tidak berfatwa tanpa ilmu kukuh dan sentiasa mempersiapkan diri dengan pengetahuan yang mantap.
Program 10 hari yang bermula pada 3 April itu disertai sejumlah 225 jemaah dari 27 negara termasuk Indonesia, Filipina, India, Bangladesh, China, Pakistan, Thailand, Bosnia dan Herzegovina, Kosovo, Croatia, Slovenia, Macedonia, Serbia, Albania, Montenegro, Korea Selatan, Hong Kong, Mauritania, Algeria, Mesir, Tunisia, Maghribi, Sudan, Maldives, Jordan dan Lubnan.
Turut serta 11 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, antaranya agamawan, ahli akademik, pendakwah serta wakil kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – FreeMalaysiaToday
KOMEN