Home » Langit Terbuka » Jangan jadikan masjid gelanggang politik

Jangan jadikan masjid gelanggang politik

PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah 

LIPIS 27 Feb. – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengulangi peringatan supaya semua masjid di negeri ini tidak dijadikan gelanggang politik khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Baginda bertitah, sehubungan itu semua pihak khususnya imam yang telah membuat aku janji menjaga kesucian masjid perlu memastikannya bebas daripada unsur politik.

“Bagi imam-imam yang berkenaan, ingat aku janji semasa dilantik menjadi imam iaitu dalam memastikan masjid bebas daripada segala unsur politik dan perpecahan yang mana ini satu amanah besar bagi mempertahankan kesucian masjid.

“Saya juga berharap semua rakyat menyokong arahan saya secara ikhlas dan menyeluruh,” titah baginda pada majlis perasmian Masjid Padang Tengku dan pengurniaan sumbangan kepada golongan memerlukan bantuan di Masjid Padang Tengku di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Pada majlis itu, baginda secara rasmi menamakan masjid berkenaan sebagai Masjid Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah.

Menurut Tengku Abdullah, organisasi masjid perlu dijadikan sebagai platform penyatuan ummah dan bukannya tempat yang memecahbelahkan masyarakat.

Titah baginda, masjid perlu dikecualikan daripada politik parti atau individu yang boleh memberi kesan negatif kepada perpaduan ummah.

“Berdasarkan kepada enakmen Majlis Ugama Islam dan Adab Resam Melayu Pahang (MUIP) Seksyen 13, sultan berhak menahan sesiapa yang menghina agama atau menyalahgunakan kuasa tetapi enakmen ini tidak pernah digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, baginda menitahkan supaya pengurusan masjid diperkasa bagi memastikan dana masjid digunakan sebaik mungkin untuk kebajikan masyarakat setempat.

Baginda menyarankan supaya mewujudkan sistem pengurusan e-akaun masjid yang boleh menjadi garis panduan bagaimana masjid-masjid boleh menguruskan kewangan mereka secara teratur dan profesional.

“Satu garis panduan pengurusan kewangan berdasarkan pandangan jawatan kuasa hukum syarak perlu bagi mengelakkan sebarang tohmahan yang mempersoalkan ke mana perbelanjaan duit tabung masjid,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *