Home » Langit Terbuka » ‘Jangan hidupkan semula khurafat zaman jahiliah’ – Mufti

‘Jangan hidupkan semula khurafat zaman jahiliah’ – Mufti

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. - FAIL NSTP

GEORGETOWN: Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak menghidupkan semula budaya jahiliah yang dilupakan sejak puluhan tahun lalu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata kepercayaan karut terhadap mana-mana hari, bulan atau waktu tertentu berasal daripada budaya zaman sebelum Islam atau zaman jahiliah, termasuk kononnya berlaku bala pada Rabu terakhir bulan Safar .

Katanya, masyarakat zaman itu percaya pelbagai bencana, kemalangan dan kejadian buruk berlaku sepanjang Safar, malah mereka tidak berniaga atau melangsungkan pernikahan pada bulan berkenaan kerana bimbang jodoh tidak kekal.

“Islam yang tiba kemudiannya menghapuskan semua kepercayaan karut itu.

“Islam mengajar kita menyerahkan nasib diri kepada Allah dan tidak akan berlaku musibah atau bencana tanpa izin Allah, malah segala apa yang berlaku adalah atas qada dan qadar-Nya,” katanya di sini, hari ini.

Sejak kebelakangan ini, beberapa dakwaan mengaitkan tarikh 13 September iaitu Rabu terakhir dalam bulan Safar mengikut kalendar Islam, dengan musibah besar hingga menimbulkan pelbagai reaksi.

Wan Salim berkata, masyarakat perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai ajaran Islam sebenar, terutama berkaitan rukun iman.

“Akidah iaitu kepercayaan kepada Allah sebagai Tuhan Yang Esa adalah paksi bagi Islam, maka jika amalan seseorang itu tidak berlandaskan keyakinan, ia tidak akan diterima di sisi Allah,” katanya.

Sebelum negara merdeka, beliau berkata, masyarakat Melayu terbawa-bawa dengan kepercayaan jahiliah itu seperti meminta bantuan golongan warak menulis doa tertentu pada kertas, direndam dalam air lalu diminum untuk menolak bala.

“Amalan khurafat yang bertitik tolak daripada kepercayaan syirik ini perlu dielak bagi memelihara akidah umat Islam.

“Yakinlah bencana hanya boleh dihindari menerusi doa yang ikhlas kepada Allah berserta amalan taat seperti solat, sedekah dan kebajikan yang lain,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *