SEPANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf mengingatkan semua pihak, khususnya parti politik agar tidak menggunakan sentimen agama secara salah.
Beliau berkata agama seharusnya bebas dan ia lebih tinggi darjatnya daripada semua perkara lain.
“Agama seharusnya bebas daripada unsur politik, termasuklah khutbah di mimbar masjid. Agama harus bebas daripada semua itu kerana ia lebih tinggi daripada semua,” kata Mujahid pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata penyampaian teks khutbah juga seharusnya menjurus ke arah kebaikan, bukannya melabel pihak lain hanya kerana berbeza pandangan politik.
“Ia (teks khutbah) seharusnya menyeru kepada kebaikan, menyeru kepada membina negara ini dan lebih penting jauhkan daripada melabel-labelkan kelompok tertentu hanya kerana berbeza pandang politik, apatah lagi menyebarkan fitnah yang tidak betul hanya untuk kepentingan politik.
“Itu sememangnya menjadi nasihat saya sejak dari awal memegang jawatan menteri agar agama tidak di politikkan,” katanya lagi. – FMT
KOMEN