Dalam hasrat mahu membangunkan sumber manusia yang bersifat global
KUALA LUMPUR 5 Okt. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu kerajaan lebih bijaksana melakukan perimbangan untuk memastikan bahasa Melayu tidak tergadai dalam hasrat mahu membangunkan sumber manusia yang bersifat global.
Sultan Nazrin bertitah, negara dan bangsa pada ketika ini sedang menghadapi cabaran untuk mengolah formula yang dapat mengimbangkan hasrat untuk mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan dengan keperluan melahirkan masyarakat yang berkebolehan dwi bahasa termasuk menguasai bahasa Inggeris.
Baginda bertitah, sesuatu idea atau formula berkenaan bahasa yang mahu dijadikan dasar, wajib diteliti secara terperinci mekanisme pelaksanaannya bagi memastikan bahasa Melayu tidak terpinggir.
“Ketika kita menerima hakikat pentingnya warga terutama orang Melayu menguasai bahasa yang lebih sejagat agar bangsa dapat diperkayakan dengan ilmu dan kemahiran, berhati-hatilah dengan kaedah yang dipilih agar yang dikendong tidak berciciran.
“Anak Melayu bukannya tikus belanda untuk dijadikan bahan eksperimen sepanjang masa. Kaedah membolehkan bangsa menguasai bahasa Inggeris hendaklah diformulakan secara betul dan selamilah sesuatu masalah secara mendalam agar bertemu dengan mutiara penyelesaian yang lebih berkesan,” titah baginda dalam Majlis Titah Diraja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Salleh Yaapar dan Ketua Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas.
Sementara itu, Sultan Nazrin turut mengingatkan pemimpin-pemimpin Melayu agar tidak mudah lupa dalam memperjuangkan nasib dan masa hadapan bahasa Melayu.
Baginda bertitah, bahasa kebangsaan walaupun dianggap tidak mempunyai nilai antarabangsa, adalah bahasa yang bukan sahaja mampu melindungi pertalian sejarah bahkan amat afdal untuk mendukung identiti nasional.
“Pemimpin Melayu juga jangan begitu cepat mencurah air dari tempayan apabila mendengar dentuman guruh di langit. Anak Melayu yang sudah tinggi pengajiannya, sudah tinggi ilmunya, sudah tinggi jawatannya, berhentilah daripada bersifat kacang lupakan kulit. Janganlah ilmu dan pengetahuan, status dan pangkat yang membolehkan anak Melayu sudah pandai bersarapan keju dan sosej, menjadikan anak Melayu terlupa daratan.
“Justeru, memberikan martabat dan kemuliaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah sebahagian daripada semangat perjanjian kemerdekaan yang perlu terus dihidupkan dan obor memperjuangkannya hendaklah dinyalakan sepanjang masa,” tegas baginda.
Sultan Nazrin turut meluahkan rasa berdukacita dengan sikap segelintir pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat-syarikat besar yang tidak menghormati bahasa Melayu.
“Hari ini PBT bagaikan mangli melihat papan tanda-papan tanda yang meminggirkan bahasa kebangsaan. Begitu juga syarikat-syarikat gergasi, syarikat milik kerajaan (GLC) yang diterajui oleh mereka yang bernama Melayu, turut mempamerkan sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan, malah tidak juga menunjukkan sokongan bersungguh kepada badan-badan yang berjuang untuk terus mendaulatkan bahasa kebangsaan,” titah baginda.
KOMEN