Home » Langit Terbuka » Jangan cetus perbalahan, kekacauan – Sultan Selangor

Jangan cetus perbalahan, kekacauan – Sultan Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah baginda dan Istana Selangor berkecuali serta tidak memihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.

Titah baginda itu diedarkan kepada media dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, pagi ini.

“Beta ingin menarik perhatian sekalian rakyat jelata terhadap senario semasa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada bulan Mei ini.

“Beta ingin menegaskan bahawa Beta dan Istana Selangor sentiasa di pihak berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.

“Beta tidak ada kaitan dengan apa juga bentuk persaingan politik dan tidak mencampuri urusan politik sama ada di peringkat negeri mahu pun negara.

“Beta juga ingin menegaskan bahawa kedudukan Beta sebagai seorang Raja adalah mengatasi politik dan tidak seharusnya dilihat menyokong mana-mana parti politik,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda sentiasa percaya dan menghormati kuasa rakyat untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak untuk mewakili mereka, selaras dengan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia ketika ini.

“Beta ingin mengingatkan kepada sekalian rakyat terutama di Negeri Selangor supaya jangan cuba menimbulkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perbalahan dan kekacauan ketika musim pilihan raya ini berjalan.

“Beta berharap agar Pilihan Raya Umum Ke-14 ini dapat dijalankan dengan lancar dan di dalam keadaan yang aman tanpa sebarang kekecohan dan huru-hara di kalangan rakyat,” titah baginda. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *