Kuala Lumpur – Umat Islam di Malaysia diminta tidak bertindak menghina agama lain, sebagai tindak balas terhadap dua jurucakap parti pemerintah India yang menghina Islam dan Nabi Muhammad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata umat Islam perlu kekal bertenang dan kekal berpegang pada prinsip Islam yang melarang perbuatan menghina agama lain dilakukan.
Beliau menyarankan umat Islam untuk bertindak balas secara intelektual menerusi kaedah perbincangan dan wacana bagi mengelak ketegangan antara agama semakin memuncak.
“Jangan kita hina penyembahan, tokong orang lain. Kalau kamu hina, nanti orang lain pula akan menghina tuhan kita. Ini prinsip yang Islam pegang.
“Kita juga berharap penganut agama lain untuk tidak bertindak sedemikian rupa. Insiden menghina ini tidak sepatutnya berlaku pada mana-mana agama sekali pun.
“Islam tidak membenarkan kita menghina orang, dan kita harapkan supaya agama lain juga jangan menghina Islam,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan dua jurucakap parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang mengeluarkan kenyataan Islamofobia dan menghina Nabi Muhammad, ketika ke udara di televisyen baru-baru ini.
Kenyataan itu mengundang kecaman beberapa negara Islam, antaranya Qatar, Kuwait, Oman, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Iran, dengan ada yang menuntut India memohon maaf, selain ada negara yang mula memboikot produk keluaran India.
Ditanya mengenai pendirian Malaysia sama ada mahu mendesak India memohon maaf atau memboikot produk negara itu seperti dilaksanakan beberapa negara lain, Idris memaklumkan perkara itu akan dibincangkan oleh kerajaan. – New Straits Times Press (M) Bhd
KOMEN