Home » Langit Terbuka » Jangan bertelingkah kerana perbezaan agama

Jangan bertelingkah kerana perbezaan agama

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mahu masyarakat Islam dan bukan Islam di Sabah terus memperkukuh perpaduan demi memastikan kelangsungan keharmonian di negeri ini.

Beliau berkata, segala pertelingkahan mahupun perselisihan faham perlu dihentikan bagi membolehkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sabah dapat bersama-sama membangunkan tamadun serta masa depan negeri yang lebih baik.

“Saya ingin melihat agar umat Islam dan bukan Islam akan dapat dipadukan dan disatukan… bukan kita bertelingkah antara satu dengan lain oleh kerana perbezaan amalan (agama) kita,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga Parlimen Sepanggar, Tuaran dan Kota Kinabalu di Masjid Bandaraya Likas, di sini hari ini.

Lebih 2,000 orang hadir memeriahkan majlis itu yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Majlis Daerah Tuaran.

Hadir sama, isteri ketua menteri Datin Seri Shuryani Shuaib; Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong; dan wakil kedutaan Arab Saudi, Sheikh Abdul Rahman Mohammed Al-Harfi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman; Datuk Bandar Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai; dan menteri-menteri Kabinet Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut berikrar akan memegang sebaiknya amanah dan kepercayaan diberikan rakyat dengan memastikan pentadbiran kerajaan negeri diterajuinya akan berlandaskan kepada kehendak dan keperluan rakyat. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *