PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dijemput untuk meneroka dan menjalin hubungan yang lebih erat dengan badan badan dakwah di Singapura selepas ini menerusi pelbagai pendekatan.
Pengarah Urusan MZ Academy, Muhd Zuhaili Sabudin berkata, terdapat peluang yang begitu besar bagi tujuan berkenaan di Singapura, memandangkan masih ramai golongan Muslim di republik itu yang kekurangan pendedahan terhadap dakwah Islamiah
“Di Singapura sains dan Islam dipisahkan, tidak seperti di Malaysia, justeru apabila kami sampaikan dakwah dan tunjukkan konsep bahawa keduanya saling berkait, ramai yang sangat tertarik, khususnya golongan muda.
“Di sini kami lihat peranan dan peluang sangat besar yang boleh YADIM ambil kesempatan, lebih lebih lagi kerana badan dakwah ini mempunyai pengalaman dan kekuatan dalam bidang ini,” ujar beliau.
Muhd Zuhaili berkata demikian dalam sesi perbincangan ketika lawatannya ke ibu pejabat YADIM di sini hari ini (11 Jun). Hadir sama ialah pihak pengurusan MZ Academy.
Ia merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam dari Singapura yang melaksanakan kerja kerja dakwah dan pendidikan, untuk komuniti Muslim di negara itu.
Selain Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz, YADIM turut diwakili oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Dr. Muhamad Razak Idris, Pengarah Kanan Sektor Penyelidikan dan Penerbitan Dakwah, Dr Masitah Esa, serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Mohd Yuswandi Abdul Majid dalam pertemuan itu.
Dalam pada itu, sebagai langkah permulaan, MZ Academy mempelawa YADIM untuk berkunjung ke republik itu dalam masa terdekat bagi lebih mendalami suasana dakwah di sana.
Muhd Zuhaili berkata, pihaknya boleh mengatur pertemuan dengan badan badan yang berautoriti seperti Majlis Ugama Islam Singapura dan Persatuan Ulama dan Guru Guru Agama Islam Singapura.
“Kita berharap akan dapat bina jalinan hubungan yang lebih kukuh dengan YADIM dan badan badan dakwah lain di Malaysia selepas ini. Sebelum ini kami memang pernah menjemput pendakwah pendakwah dari Malaysia seperti Ustaz Dato’ Badlishah Alaudin dan Ustazah Professor Dr Sharifah Hayati Syed Ismail Al-Qudsy,” katanya.
Sementara itu, dalam kunjungannya, MZ Academy dan YADIM mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan meliputi pelbagai aspek.
Antaranya termasuklah tentang perihal Islam di Singapura, aturan perjalanan, keadaan sambutan Aidilfitri di negara itu dan sebagainya.
Turut dibincangkan ialah cabaran, peluang, masalah serta potensi pembangunan dakwah antara Malaysia dan Singapura.
Nik Omar turut mengambil kesempatan memaklumkan hasrat YADIM untuk menganjurkan Multaqa Ulama Sedunia pada hujung tahun ini dan berharap Singapura akan dapat menghantar wakilnya bagi menyertai program tersebut.
Multaqa tersebut katanya, bukan sahaja akan menghimpunkan ulama, malah cendekiawan dan ilmuan dari pelbagai bidang.
Dr Muhammad Razak pula berkata, menerusi jalinan hubungan dakwah antara kedua negara itu nanti akan mampu meluaskan aliran pemikiran sederhana di rantau Asia Tenggara.
Beliau menambah, ini dapat dilaksanakan menerusi peranan guru guru dan pendakwah terlatih yang menolak pemikiran melampau.
“Di Malaysia kita menggerakkan usaha ini menggunakan pendekatan Rahmatan Lil Alamin yang kini giat digerakkan kerajaan,’ ujarnya.
Selesai perbincangan dengan Yang Dipertua YADIM, delegasi MZ Academy dibawa meninjau kedai buku serta operasi harian YADIM.
KOMEN