Home » Langit Terbuka » Jakim yakin pendakwah bertauliah tak sewenang-wenang kafirkan orang

Jakim yakin pendakwah bertauliah tak sewenang-wenang kafirkan orang

JAKIM percaya murabbi termasuk para imam, bilal, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain serta pendakwah yang mendapat tauliah yang berjumlah kira-kira 50,000 orang tidak akan sewenang-wenangnya mencetuskan polemik, termasuk menjatuh hukum “kafir” kepada seseorang. - Foto FB

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mohamad Nordin Ibrahim yakin murabbi atau pendakwah yang dilantik tidak terpesong dari tugas mereka untuk mendidik masyarakat mengenai ajaran Islam yang sebenar.

Pihaknya percaya murabbi termasuk para imam, bilal, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta pendakwah yang mendapat tauliah yang berjumlah kira-kira 50,000 orang tidak akan sewenang-wenangnya mencetuskan polemik, termasuk menjatuh hukum “kafir” kepada seseorang.

“Buat masa ini tidak berlaku (perkara sedemikian), jika berlaku kita akan berikan nasihat,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Murabbi Ummah 2019 Peringkat Kebangsaan hari ini (28 September).

Beliau berpendapat pemantauan khusus tidak perlu diwujudkan untuk para murabbi kerana garis panduan telah disediakan dan kursus pentauliahan dianjurkan setiap tahun oleh Jakim dan jabatan agama negeri.

“Mereka ada garis panduan jadi saya tidak fikir mereka akan terbabas daripada landasan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Setakat ini, para murabbi yang dilantik adalah berkelayakan dan mempunyai tauliah serta sentiasa dekat dengan kerajaan untuk menyampaikan mesej rahmatan lil alamin untuk semua.

Konvensyen Murabbi Ummah dianjurkan bersempena Karnival Rahmah Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung dari 26-29 Sept di Putrajaya.

Konvensyen ini bermatlamat untuk menanam kefahaman golongan sasar mengenai konsep rahmah dan gagasan rahmatan lil alamin yang memberi rahmat dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *