Home » Langit Terbuka » JAKIM, SKMM bangun aplikasi Smart Hadith

JAKIM, SKMM bangun aplikasi Smart Hadith

Projek aplikasi mudah alih ini ditanggung sepenuhnya oleh SKMM ini dilengkapi dengan fungsi carian, hadis harian, perkongsian maklumat ke media sosial, bookmark dan pertanyaan. - Foto JAKIM

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membangunkan aplikasi Smart Hadith bagi memudahkan proses semakan dan carian hadis.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya, dalam kenyataannya berkata dengan tema ‘Hadis Sahih di Hujung Jari’ aplikasi itu turut dibangunkan bagi memartabatkan hadis sebagai rujukan kedua selepas al-Quran.

“Projek aplikasi mudah alih yang ditanggung sepenuhnya oleh SKMM ini dilengkapi dengan fungsi carian, hadis harian, perkongsian maklumat ke media sosial, bookmark dan pertanyaan,” katanya.

Smart Hadith boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Apps Store, katanya.

Aplikasi itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bersempena Persidangan Mufti-Mufti Seluruh Malaysia yang berlangsung di sini hari ini.

Menurut Paimuzi, aplikasi itu dapat membantu golongan sasaran seperti pendakwah, penyelidik, pensyarah dan pelajar serta meningkatkan kepantasan capaian terhadap maklumat yang disediakan.

Mengenai Persidangan Mufti-Mufti Seluruh Malaysia, beliau berkata, ia adalah usaha JAKIM dalam merangka kerjasama strategik dengan jabatan mufti negeri bagi mendepani cabaran isu-isu semasa Islam.

Katanya, objektif utama persidangan itu termasuk membincangkan dan menyelaras isu-isu pengurusan dan pembangunan institusi fatwa.

“Selain itu, memastikan pengurusan dan penyelarasan institusi fatwa sentiasa dikemas kini dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa dan memastikan jalinan koordinasi di antara kerajaan pusat dan jabatan mufti seluruh negeri dilaksanakan secara menyeluruh,” kata Paimuzi. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *