KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) optimis akan terus menerajui pengurusan halal di Malaysia demi memastikan nama JAKIM khususnya dan negara amnya dihormati dan dicontohi di peringkat global.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata pihaknya juga komited untuk memastikan pengurusan halal yang diterajui JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) terus berkembang pesat.
Katanya, pengurusan halal diterokai JAKIM seawal 1974, kini sudah pun menjadi jenama yang terkenal dan diyakini sehingga ke peringkat antarabangsa, malah menjadi salah satu kebanggaan Malaysia.
“Masyarakat terus menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap Halal Malaysia yang ditadbir urus oleh sebuah institusi kerajaan yang sepenuhnya bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal agama Islam seperti JAKIM.
“Prinsip dipegang JAKIM adalah integriti halal yang tinggi dengan kualiti terjamin. Ditambah pula dengan pengalaman JAKIM yang luas dalam bidang halal yang mampu menguruskan dengan kompeten, cekap dan inovatif.
“Halal Malaysia telah mempunyai standard dan piawaian yang mantap. Sehingga kini terdapat tujuh standard berjaya dibangunkan dalam pelbagai bidang makanan dan minuman, premis makanan, kosmetik, farmaseutikal dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini (8 September).
Mohamad Nordin berkata, ekosistem pengurusan halal yang dilaksanakan oleh JAKIM kini semakin kukuh dan berkembang pesat.
Beliau berkata, perkara itu dibuktikan dengan kehadiran dan permintaan pihak industri di dalam dan luar negara yang mengiktiraf JAKIM sebagai institusi unggul untuk dirujuk dan mendapatkan maklumat mengenai halal.
“Program promosi bagi meningkatkan kesedaran kepentingan pensijilan halal di kalangan pengguna serta menggalakkan permohonan sijil halal di kalangan industri terus giat dilaksanakan bersama rakan strategik.
“Terkini adalah kejayaan dalam Penganjuran HALFEST JAKIM 2019 yang di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mampu menarik lebih 540 usahawan dan hampir 100,000 pengunjung,” katanya. – Berita Harian
KOMEN