Home » Langit Terbuka » Jakim menyambut baik RUU Anti Berita Tidak Benar

Jakim menyambut baik RUU Anti Berita Tidak Benar

KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Simposium Siyasah Syar'iyyah Dalam Konteks Peradaban Politik di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, di sini hari ini - UTUSAN

KUALA LUMPUR 29 Mac – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyambut baik pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 kerana ajaran Islam sendiri sangat melarang dan memandang keji penyebaran berita-berita palsu.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha berkata, sebelum ini umat Islam diberi penjelasan dari aspek nasihat dan dakwah mengenai peri pentingnya supaya mereka sentiasa bertabayyun apabila menerima sesuatu berita.

“Tetapi jika masih berlaku juga penyebaran berita palsu maka di sini pentingnya kita boleh mengambil tindakan dari aspek undang-undang supaya masyarakat akan berfikir dua kali dalam konteks mereka-reka dan menyebarkan berita palsu ini.

“Selain RUU ini sememangnya menjadi tuntutan agama yang mahu umat Islam mesti terpelihara dari melakukan dan menjadi mangsa fitnah akibat penyebaran berita palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Siyasah Syariyyah 2018 “Dalam Konteks Peradaban Politik Masa Kini” anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Yadim, Dr. Yusri Mohamad dan Mantan Menteri Agama Republik Indonesia, Prof. Dr. Said Agil Husin Al Munawar.

Hampir 400 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam, swasta, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan para pemimpin masyarakat hadir di simposium sehari ini.

Sebelum itu dalam ucapan perasmiannya, Othman berkata, Islam tidak melarang umatnya berpolitik kerana politik itu sebahagian daripada tuntutan agama.

“Cuma berpolitik dalam kerangka Islam tentunya tidak sama dengan pendekatan politik Barat acuan Machiavelli yang menghalalkan apa juga cara demi matlamat pangkat dan kuasa,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *