PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melancarkan Tabung Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi bagi membantu mangsa bencana terbabit di Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata inisiatif itu akan dilaksanakan melalui masjid dan surau bawah pentadbiran JAKIM serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“JAKIM menzahirkan rasa simpati atas musibah itu dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa terbabit dalam bencana berkenaan.
“Sesungguhnya, ini adalah ujian dan ketentuan takdir Allah Yang Maha Esa buat hamba-Nya yang tidak mampu kita halang.
“JAKIM menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama menyumbang dan mendoakan agar Allah mengembalikan kesejahteraan kepada penduduk Semenanjung Minahassa.
“Semoga usaha yang sedikit ini menzahirkan Islam sebagai agama rahmatan lil a’lamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Nordin berkata, Indonesia adalah antara negara anggota Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) yang saling menjalin hubungan sangat rapat, terutama dalam bidang kebajikan serta dakwah.- Berita Harian
KOMEN