Home » Langit Terbuka » Jakim jawab isu anak tak sah taraf

Jakim jawab isu anak tak sah taraf

SHAH ALAM 3 Sept.  – Isu yang berkaitan dengan kesahtarafan anak di negara ini hendaklah sentiasa dirujuk kepada peruntukan dalam Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam atau Pentadbiran Negeri-negeri.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, keputusan tersebut dibuat dalam pertemuan antara pihak Jakim dengan Mufti-Mufti Selangor, Kelantan, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Melaka, Kedah, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan dan wakil Mufti Sarawak.

“Satu pertemuan bagi membincangkan isu anak tak sah taraf telah diadakan pada 21 Ogos lalu. Turut hadir wakil-wakil daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Pertemuan ini telah diatur oleh Jakim untuk menzahirkan kesepakatan bersama dalam isu kesahtarafan anak.

“Pertemuan ini telah sebulat suara bersetuju bahawa isu-isu yang berkaitan dengan kesahtarafan anak di negara ini hendaklah sentiasa dirujuk kepada peruntukan dalam Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam atau Pentadbiran Negeri-negeri yang antara lain memperuntukkan bahawa jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, peruntukan undang-undang itu juga adalah selaras dengan fatwa yang telah diwartakan di negeri-negeri berkenaan dengan kesahtarafan anak dan juga pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-57 pada 10 Jun 2003.

“Bagaimanapun, lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah,” jelasnya. – www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *