Home » Langit Terbuka » Jakim bersedia hadapi arus perubahan

Jakim bersedia hadapi arus perubahan

Datuk Mohamad Nordin Ibrahim

KUALA LUMPUR 27 Mei – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa bersedia dengan arus perubahan dan sebarang penambahbaikan sekiranya ada terhadap agensi itu demi kebaikan semua pihak.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, sebarang penambahbaikan terhadap agensi itu adalah bagi menjunjung tinggi semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mengirim ucapan dan menyatakan sokongan mereka terhadap Jakim dalam keadaan terdapat suara-suara yang mendesak supaya Jakim dibubarkan atau dikecilkan fungsinya.

“Tidak kurang juga yang berdoa agar Jakim terus dipelihara dan kekal relevan di tanah air ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Menurut beliau, sokongan itu boleh dikatakan mewakili sebahagian besar hasrat dan kehendak rakyat yang mahu Jakim terus berpera­nan sebagai mana sedia ada bahkan perlu diberi penambahbaikan demi maslahah umat seluruhnya.

“Saya ingin menyatakan kepada semua bahawa Jakim amat menaruh keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan baharu di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan terus mempertahankan Jakim sebagaimana fungsi asal penubuhannya.

“Jakim amat dekat di hati Dr. Mahathir kerana Jakim berkembang dan dinaik taraf di zaman kepemimpinan beliau pada tahun 1997,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, Jakim sekadar menjunjung titah Majlis Raja-Raja bagi memastikan hal ehwal Islam diselaraskan dan mengamalkan tadbir urus yang baik.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jakim berkata, sumbangan Jakim di peringkat global khasnya berkaitan industri dan persijilan halal sudah lama terpahat dalam peta dunia.

“Jakim antara agensi utama yang menggerakkan dan menyelaras di peringkat Persekutuan. Adakah Jakim gagal hanya kerana segelintir rakyat gagal hendak berkhalwat dengan tenang?” katanya.

Tambahnya, kumpulan yang mendesak agar Jakim atau institusi Islam lain dimansuhkan sedang menghina Perlembagaan Persekutuan dan Raja-Raja Mela­yu yang bertindak sebagai ketua agama Islam di negara ini. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *