KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil beberapa individu yang berpakaian menyerupai wanita semasa acara pertandingan hiburan, semalam.
Ia bagi mendapatkan penjelasan lanjut selain mengadakan sesi perbincangan secara tertutup untuk memberikan nasihat dan bimbingan kepada individu terlibat.
“JAKIM mengambil perhatian serius terhadap isu yang tular mengenai lelaki muslim berpakaian menyerupai wanita semasa sebuah acara program hiburan yang berlangsung pada 16 Februari 2025 sehingga menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya di Malaysia.
“JAKIM telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, JAKIM menyeru dan menasihati semua pihak agar sentiasa peka, menghormati nilai-nilai serta sensitiviti agama di Malaysia yang sepatutnya tidak berlaku selain mengharapkan agar perlakuan tersebut tidak berulang pada masa akan datang.
“Sesungguhnya, Islam adalah agama rahmah dan menyantuni fitrah manusia yang menginginkan hiburan. Malah hiburan juga sebagai salah satu elemen yang membawa kepada kegembiraan, kesejahteraan dan memupuk nilai-nilai murni.
“Namun, perlu dibatasi dengan adab dalam berhibur agar tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam,” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial tindakan beberapa lelaki yang didakwa berpakaian seperti wanita dalam satu acara pertandingan hiburan di ibu negara hingga mengundang kritikan rakyat Malaysia khususnya umat Islam.—AlHijrah Online
KOMEN