SHAH ALAM –Â Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semalam memanggil pendakwah terkemuka, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani bagi memberi penjelasan berhubung penggantungan tauliah mengajar ke atasnya berkuat kuasa, semalam.
Pengarahnya, Datuk Haris Kassim berkata, sesi penjelasan tersebut berlangsung selama setengah jam bermula jam 11 pagi tadi di Pejabat Jais.
Beliau berkata, sesi perjumpaan itu penting bagi menjelaskan kenapa penggantungan tauliah terpaksa diambil ke atas Ahmad Dusuki buat sementara ini sehingga siasatan selesai.
“Kita tak mahu orang ramai atau Ahmad Dusuki sendiri salah faham.
“Tindakan dibuat supaya dalam tempoh tersebut dia tidak melakukan sebarang ceramah di mana-mana masjid atau surau di negeri ini kerana bimbang akan timbul konflik atau provokasi, “katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Terdahulu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggantung tauliah mengajar Ahmad Dusuki di dalam negeri Selangor mengikut Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 pindaan 2015.
Selain itu katanya, menerusi penjelasan itu juga Jais berharap Ahmad Dusuki dapat memaklumkan atau membatalkan segala jemputan untuk beliau berceramah di surau atau masjid di negeri ini yang diterimanya.
“Berdasarkan pertemuan tadi (semalam) beliau faham dan akur untuk tidak berceramah dalam tempoh penggantungan ini, “katanya.
Dalam pada itu, Haris berkata, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa siasatan selewat-lewatnya minggu ini atau minggu depan berhubung kes tersebut.
“Kita akan ada panel khas khusus untuk menjalankan siasatan dan surat untuk memanggil Ahmad Dusuki hadir bagi memberi keterangan akan menyusul dalam tempoh terdekat.
“Soal tauliah mengajar juga hanya akan ditentukan sama ada akan ditarik terus atau tidak selepas semua siasatan selesai dibuat, “katanya.
Kelmarin, penggantungan sementara tauliah mengajar dan berceramah Ahmad Dusuki didakwa ada kaitan dengan kontroversi beliau mendoakan kehancuran ‘pakatan yang jahat’ .
Ahmad Dusuki selepas solat hajat sempena 10 tahun Pas dalam kerajaan Selangor di Shah Alam pada 18 Mac lalu antara lain berdoa menyamakan pertempuran Pas dan parti lain pada pilihan raya umum akan datang seperti Perang Ahzab. – SINAR HARIAN
KOMEN