Home » Langit Terbuka » JAIS diminta banteras ajaran sesat secara konsisten – Sultan Selangor

JAIS diminta banteras ajaran sesat secara konsisten – Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam hari ini. -Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta untuk terus membanteras ajaran sesat yang menyeleweng daripada pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ini untuk memastikan umat Islam di negeri tersebut terus berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi ikutan akidah di negara ini sejak dahulu lagi.

“(JAIS mesti) berusaha mengadakan program untuk mengukuhkan lagi akidah umat Islam dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

“Beta selaku ketua agama Islam di Selangor amat memandang serius terhadap pembangunan dan kebajikan umat Islam di negeri ini,” titahnya pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Ke-15 Tahun 2025 di Bangunan Annex, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan JAIS supaya mengawasi dan menambah baik sistem sekolah tahfiz di negeri ini.

“Beta mahu keadaan fizikal dan dan fasiliti bangunan dan asrama sekolah-sekolah tahfiz ini dilengkapi dengan aspek keselamatan yang diiktiraf dan alat-alat pencegah kebakaran berada di dalam keadaan yang baik dan diluluskan oleh pihak bomba.

“(Manakala) sekolah tahfiz yang tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup,” tegasnya.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan JAIS dan Yayasan Islam Darus Ehsan (YIDE) untuk memainkan peranan membantu dan memastikan anak-anak yatim dan asnaf mendapat pendidikan dan keperluan asas yang baik serta sempurna. KOSMO! ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *