Home » Langit Terbuka » JAIS cadang wajib kursus pasca perkahwinan

JAIS cadang wajib kursus pasca perkahwinan

JAIS memiliki empat modul pasca perkahwinan iaitu fasa bulan madu bagi pasangan yang telah berkahwin antara setahun hingga lima tahun, fasa semarak kasih (6 hingga 10 tahun), sehati sejiwa (11 hingga 20 tahun) dan syurga cinta (21 tahun ke atas). - Foto Kursus Kahwin KL.com

SHAH ALAM – Kursus pasca perkahwinan akan diwajibkan kepada pasangan suami isteri beragama Islam di negeri ini dalam usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan.

 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Nik Suhaila Nik Hussin berkata, cadangan berkaitan sedang diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi selain selaras seruan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar setiap jabatan agama negeri untuk memperkasakan pasca perkahwinan.

 

Katanya, pihaknya memang mempunyai kursus tersebut namun bilangan peserta berkurangan disebabkan kekangan dari segi kos.

 

“Sebenarnya kursus itu merupakan satu cara dalam menyelamatkan rumah tangga dan kita sentiasa konsisten melakukannya setiap tahun dengan modul Jakim namun setakat ini belum diwajibkan.

 

“Ada empat modul iaitu fasa bulan madu bagi pasangan yang telah berkahwin antara setahun hingga lima tahun, fasa semarak kasih (6 hingga 10 tahun), sehati sejiwa (11 hingga 20 tahun) dan syurga cinta (21 tahun ke atas),” katanya dalam bual bicara secara dalam talian bersama sebuah portal di sini.

 

Kata beliau, dalam kursus pasca perkahwinan tersebut pengukuhan dilakukan dari segi kewangan, mental dan menguruskan konflik kerana mereka bukan berangan-angan sebalik telah melalui alam rumah tangga setiap hari.

 

“Penyertaan paling cepat atau banyak adalah bagi fasa syurga cinta disebabkan tiada komitmen yang membebankan seperti menjaga anak berbanding fasa-fasa lain,” ujarnya.

 

Nik Suhaila memberitahu, berdasarkan rekod mencatatkan penceraian yang berlaku pada 2019 adalah sebanyak 9,438 pasangan, 2020 (7,683) dan sehingga Julai tahun ini (2,621) dengan peringkat umur pasangan paling tinggi adalah lingkungan 31 hingga 35 tahun.

 

“Usia perkahwinan paling dominan penceraian adalah berusia setahun hingga lima tahun.

 

“Manakala penurunan kes penceraian dicatatkan setakat Julai berkemungkinan disebabkan kekangan kepada orang awam dalam menguruskan penceraian disebabkan tempoh pandemik dengan mahkamah mengutamakan kes-kes yang kritikal,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JAIS mencatatkan peningkatan aduan penceraian dengan 2018 merekodkan 11,308 aduan diikuti 2019 (15,887) dan 2020 (17,801) bagi keseluruhan 10 kategori aduan.

 

“Paling dominan berkaitan akhlak seperti ketagihan media sosial, pengotor dan kuat merokok selain aduan tidak bertanggungjawab dan masalah komunikasi.

 

“Kita sentiasa menguar-uarkan perkhidmatan khidmat dan runding cara namun stigma awam sekiranya datang ke pejabat agama akan dikategorikan orang bermasalah seperti kita pergi mendapat rawatan kaunseling.

 

“Kelewatan mereka menyebabkan isu yang boleh diselesaikan awal berkesudahan dengan penceraian,” katanya. -K! ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *