Home » Persuasif » Jagalah Allah, maka dia akan menjagamu

Jagalah Allah, maka dia akan menjagamu

Susunan WARTAWAN DAKWAH

Ibnu Abbas berada di belakang Rasulullah SAW dan mendakap erat tubuh Baginda. Pada masa itu, usianya masih kecil lagi. Lalu Rasulullah SAW memberikannya nasihat: “Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah nescaya kau akan dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah. Jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, seandainya seluruh makhluk saling bersatu memberikan suatu kebaikan, nescaya hal itu tidak lebih dari kurniaan yang telah Allah tetapkan untukmu. Sebaliknya, seandainya seluruh makhluk saling bersatu dan melakukan sesuatu yang membahayakan, nescaya hal itu tidak engkau alami kecuali Allah telah tetapkan untukmu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering” (HR at-Tirmidzi).

Nasihat Rasulullah SAW itu dapatlah difaham dari ayat, “JAGALAH ALLAH, MAKA DIA AKAN MENJAGAMU.” Namun, jangan salah faham. Ayat ini tidak bermakna Allah SWT memerlukan sebarang penjagaan daripada hamba-hamba-Nya. Maha Suci Allah atas segala kuasa-Nya, Allah tidak memerlukan sebarang perhatian dari makhluk-Nya.

Begini maksudnya; semasa kita beribadah, sudah pasti ibadah itu adalah untuk kita. Itu adalah kewajipan kita sebagai hamba-Nya, ini maksudnya dengan menjaga Allah. Ketika kita bersyukur atas nikmat yang dikurniakan-Nya, Allah pasti akan menambahkan nikmat-Nya kepada kita. Inilah penjagaan dari Allah yang akan kita peroleh. Sebaliknya, jika kita tidak melaksanakan kewajipan sebagai hamba serta kufur atas nikmat yang diberi, bukan Allah SWT yang akan rugi, bahkan manusialah yang akan mendapat balasan dan seksaan yang pedih.

Di bawah ini adalah tiga asas untuk kita sama-sama menjadi hamba yang senantiasa dalam penjagaan-Nya. Insya-Allah.

  1. Menjadi hamba Allah yang bertauhid

“Wahai Rasulullah…” seru Mu’adz bin Jabal. ‘Beritahulah aku suatu amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari seksa neraka.’ Maka jawab Baginda, ‘Pertanyaanmu adalah suatu yang besar, namun akan menjadi mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah SWT. Sembahlah Allah dan jangan menyekutukan dengan yang lain, kerjakanlah solat, tunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan kerjakanlah haji ke Baitullah.”

Inilah asas yang terpenting bagi seorang hamba yang ingin meraih penjagaan Allah SWT. Semuanya dengan keyakinan bahawa tidak ada yang dapat memberikan pertolongan dan keampunan selain Allah SWT. Walaupun pertolongan-Nya datang menerusi seseorang, namun hakikatnya, Allah yang memberikan pertolongan itu menerusi perantara tadi.

Menjaga Allah dengan menjaga perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Bersungguh dalam melaksanakan kewajiban dan tidak meremehkan sesuatu yang dianggap sunnah. Kerana sunnah itu termasuk bentuk kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada hamba yang ingin mendapat penjagaan-Nya.

Pasti kita akan merasakan penjagaan-Nya itu ketika kita sedang mengerjakan amalan yang diwajibkan kepada kita atau sesuatu amalan yang di sunnah oleh Rasulullah SAW. Hal ini kerana amalan wajib adalah suatu kepatuhan manakala amalan sunnah pula merupakan suatu ketulusan. Amalan-amalan wajib dan sunnah ini hakikatnya merupakan bentuk kenikmatan dalam beribadah kepada Allah SWT sehingga disitulah kita merasakan penjagaan Allah SWT terhadap jiwa kita.

  1. Menjadi hamba yang melepaskan diri dari sesuatu yang tidak disukai-Nya

Imam al-Ghazali mengatakan bahawa manusia disebut juga hafiz (menjaga), bila dia dapat menjaga hatinya atau menjaga keimanan dan ketakwaannya. Jika dia berupaya menjaga hatinya itu, nescaya dia akan terhindar dari nafsu amarah, terjaga dari tipu daya syaitan dan pujukan nafsu duniawi semata. Manusia harus sedar mengenai realiti kehidupan disekelilingnya kerana bila-bila masa sahaja dia boleh terperosok ke dalam jurang yang curam dan berbahaya sehingga tanpa sedar, telah memasuki lorong kenistaan dan kebinasaan.

Jagalah Allah, maka Dia akan menjagamu. Menjaga diri dari hal-hal yang tidak disukai-Nya, menjauhkan diri dari perbuatan yang membinasakan diri dan berlepaskan diri dari pengaruh-pengaruh yang menyebabkan cinta nafsu dunia.

  1. Menjadi hamba yang selalu bertaubat

Walau sebagai makhluk yang sempurna ciptaannya, manusia tidak pernah lepas dari kealpaan dan kesalahan. Pada akhirnya kelemahan manusia membawanya ke dalam jurang yang dalam. Hakikatnya, kita tiada upaya dan kuasa membendung badai negatif yang ada di sekeliling kecuali dengan berdoa kepada Maha Kuasa kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui kelemahan makhluk-Nya. Dia Maha Pengampun dan akan mengampuni hamba-hamba-Nya yang tunduk ikhlas menadah tangan memohon ampun dari segala benih-benih dosa yang telah dilakukannya.

“Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih” (Hud:90).

Memang, dosa akan menjauhkan kita dari penjagaan-Nya. Oleh kerana itu, mintalah keampunan-Nya, bersegeralah mendekatkan diri kepada Allah SWT untuk memperoleh kurnia dan jagaan-Nya. Sesungguhnya Allah SWT memiliki nama yang sangat indah iaitu “al-Hafidz” yang bermaksud Maha Menjaga.

Jagalah diri, jagalah hati, untuk menggapai penjagaan Allah SWT dari kebinasaan dan kemungkaran. Jauhkan diri, jauhkan hati dari hal yang dapat merosakkan amalan-amalan yang telah kita tanam. Biasakan diri, biasakan hati untuk membuat kebaikan. Segeralah bertaubat tatkala hati semakin pekat, bersimpuh diri tatkala dosa memenuhi jiwa suci. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *