Ayer Keroh: Seni silat memainkan peranan yang besar dalam memastikan budaya Melayu itu terkenal dan diwarisi di peringkat sejagat.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seni silat juga dilihat terbukti mampu menjadi jambatan budaya Melayu Nusantara dan dunia luar dengan ratusan ribu ahlinya dari benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.
Sehubungan itu, katanya, silat perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya persilatan yang sudah bertapak sejak sekian lama ini akan dapat dikekalkan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.
“Ini menjadi bukti bahawa silat sudah semakin diterima bukan sahaja di rantau ini, malah dunia persilatan sehingga berkembang ke negara luar.
“Seni silat bukan sekadar untuk mempertahankan diri, tetapi ia juga membentuk keterampilan dan jati diri mereka yang mempelajarinya.
“Malah, silat juga dapat juga mendidik pengamalnya supaya tidak mudah mengalah dan berjiwa besar, selain sentiasa menyemai dan menyemarakkan semangat perjuangan pejuang silam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), Datuk Seri Probowo Subianto dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.
Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada PESAKA bagi menghargai sumbangan yang diberikan oleh anak silat serta membantu PESAKA mengembangkan seni silat di persada dunia.
Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana dunia persilatan Melayu sudah menyaksikan pelbagai pencapaian dan kejayaan, malah diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara.
Terbaharu, katanya, PESAKA dan Jabatan Warisan Negara berjaya menyenaraikan silat sebagai Warisan Tidak Ketara Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), ia satu lagi pengiktirafan tertinggi buat Malaysia.
“Seni silat seharusnya menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini yang membentuk karakter peribadi dan disiplin bagi sesiapa yang mengamalkannya.
“Saya berharap seni silat akan terus dipraktikkan oleh generasi masa kini dan akan datang supaya ia kekal dimartabatkan dan kekal relevan sepanjang masa,” katanya.
Mengulas mengenai Kejuaraan Pencak Silat Dunia itu, Ismail Sabri berkata, penganjurannya sudah pasti akan mencipta satu lagi sejarah keluarga silat dan seni mempertahankan diri dalam menempuh cabaran dari dalam dan luar.
“Penganjuran kejuaraan di bumi Melaka bersejarah ini amat signifikan memandangkan negeri ini sarat dengan peristiwa penting berkait dengan pahlawan Melayu yang tersohor berjuang mempertahankan agama
dan tanah air terutama ketika zaman Kesultanan Melaka.
“Silat kini berkembang luas bukan hanya di rantau ini tetapi juga negara lain di dunia yang tidak berkongsi budaya dan adat resam yang sama.
“Silat kini berkembang luas bukan hanya di rantau ini tetapi juga negara lain di dunia yang tidak berkongsi budaya dan adat resam yang sama, perbezaan inilah yang menyatukan kita sebagai pengamal seni silat.
“Menang atau kalah adat pertandingan, tetapi apa yang lebih penting ialah menjadikan kejohanan ini untuk memperkukuhkan hubungan sesama pesilat, bertukar pandangan dan pendapat demi mencapai masa depan silat yang lebih cemerlang,” katanya. – Harian Metro
KOMEN