PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan golongan muda menjadikan keperibadian tokoh Islam terdahulu sebagai inspirasi dalam menuntut ilmu.
Katanya, golongan muda perlu mempunyai ilmu dan perjuangan lebih jelas, jika mahu melihat perubahan berlaku dalam negara ini.
“Contohi Saidina Ali, beliau mencintai ilmu, sesuatu yang lazat dan mengasyikkan. Bukan untuk meletakkan dirinya sebagai seorang yang intelek, tetapi kerana ilmu itu sangat mengasyikkan dirinya.
“Sekarang ini, ramai yang tidak mempedulikan ilmu. Jika benar-benar mahukan perubahan, kena siapkan diri dengan keyakinan dan ilmu, barulah matlamatnya lebih jelas,” katanya berucap dalam Majlis Makan Malam dan Pidato Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam tadi.
Katanya lagi, beliau banyak memberi peluang kepada orang muda untuk memimpin dan memperjuangkan isu rakyat.
“Saya selalu beritahu mereka, ingatlah rakyat yang selalu mendukung dan menyokong kita selama ini.”
Tambahnya, gerakan reformasi diterima masyarakat kerana matlamatnya menolak pemimpin yang rosak akhlak.
“Menolak kezaliman, keangkuhan, rasuah dan kebobrokan sistem dapat menarik rakyat negara ini kepada tumpuan reformasi.” Ujarnya. -FreeMalaysiaToday
KOMEN