MARAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru semua pihak supaya menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai platform bagi menyatupadukan rakyat.
Tengku Abdullah bertitah rakyat juga perlu membuat pertimbangan sewajarnya pada hari pengundian 9 Mei ini demi kesinambungan pembangunan termasuklah di Pahang.
“PRU ini hanyalah lima tahun sekali, jadi, undilah sebaik mungkin untuk memilih kerajaan yang bukan sahaja dapat menjaga kebajikan rakyat tetapi melonjakkan ekonomi negeri,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian penutup Pesta Air Chenor di Jeti Lama Chenor, Kampung Chenor di sini, pada Ahad.
Pesta Air Chenor kali ketiga itu diadakan selama tiga hari bermula pada Jumaat dengan menampilkan pelbagai aktiviti darat dan sungai bagi memperkenalkan panorama sungai selain mendedahkan budaya dan warisan Kampung Chenor.
Turut hadir calon Barisan Nasional (BN-UMNO) yang juga penyandang kerusi Parlimen Maran merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsudin.
Sementara itu, Tengku Abdullah berharap kerajaan akan turut memberi keutamaan kepada projek-projek kecil seperti penganjuran Pesta Air Chenor kerana ia memberi makna yang besar kepada masyarakat.
“Pesta Air Chenor ini, walaupun dari mata kasar nampak kecil, tetapi bagi penduduk Kampung Chenor dan penduduk kawasan sekitarnya, ia sangat besar. Mereka boleh mempamer dan memasarkan produk-produk keluaran mereka,” titah baginda.
Justeru itu, baginda menyeru supaya Pesta Air Chenor itu diteruskan dan dipelbagaikan lagi aktiviti yang membolehkan golongan muda menunjukkan bakat mereka seperti dalam bidang nyanyian dan tarian.
Pesta itu juga mampu dijadikan antara tarikan pelancong ke Pahang, titah baginda. – BERNAMA
KOMEN