Home » Langit Terbuka » Jadikan Malaysia negara membaca menjelang 2030

Jadikan Malaysia negara membaca menjelang 2030

Menteri Pendidikan berkata, kempen membaca yang akan dilancarkan tahun depan, bertujuan membentuk masyarakat ilmu bertaraf dunia dengan tumpuan membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca - Foto Sahabat Keluarga

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan berhasrat untuk menjadikan tempoh masa 10 tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan.

Menterinya Dr Maszlee Malik, berkata ia sebahagian usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030.

Beliau berkata, kempen itu yang akan dilancarkan tahun depan, bertujuan membentuk masyarakat ilmu bertaraf dunia dengan tumpuan membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca.

“Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif untuk menyemarakkan program gerakan membaca yang sudah berlangsung sejak dua dekad lalu memandangkan kempen itu masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

“Jadi, kita perlu merangka satu pendekatan baharu yang lebih mantap lagi agresif bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan dan membugarkan pembudayaan membaca,” katanya ketika pra-pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di sini, hari ini.

Selain itu, Maszlee berkata kempen itu mampu memperkukuh dan meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat serta menzahirkan hasrat untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara yang berbudaya membaca.

“Kita sasarkan tempoh tiga tahun iaitu 2018 hingga 2020 sebagai tempoh mempergiatkan kempen Dekad Membaca Kebangsaan,” katanya.

Selain itu, katanya, kajian The World’s Most Literate Nation (Negara Paling Celik Huruf Sejagat) pada 2016 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-53, jauh di belakang negara jiran Singapura yang berada di kedudukan ke-36.

“Kerajaan sedang dalam perancangan untuk mensasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020, berbanding 19,713 judul pada 2017,” katanya.

Mengenai slogan #MALAYSIAMEMBACA, Maszlee berkata ia dipilih dan akan dipopularkan sebagai aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu taraf dunia. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *