“BERKERJALAH bersama kami, bukan bekerja untuk kami,” itu amanat Menteri Besar Terengganu yang baharu, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika berucap di hadapan lebih 500 kakitangan Wisma Darul Iman.
Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, semua pihak mengalas tanggungjawab untuk membawa Terengganu ke era baharu menuju Maju, Berkat dan Sejahtera.
“Prinsip dan dasarnya adalah menjadikan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, ilmu, akhlak dan inovasi sebagai asas membina pelan induk negeri ke arah yang cemerlang seterusnya menjadi contoh negeri yang maju berkat dan sejahtera.
“Matlamat kita adalah besar, membawa agenda pelan Induk Terengganu Sejahtera yang bermatlamat berpandukan slogan, Maju, Berkat dan Sejahtera merangkumi semua aspek,” katanya.
Terdahulu, Dr Ahmad Samsuri menunaikan solat hajat bersama lebih 500 kakitangan Wisma Darul Iman.
Menurutnya, beliau bersama barisan exco yang lain mempunyai sasaran untuk menjadikan Terengganu sebagai Pusat Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa, Hub Pendidikan Islam Antarabangsa, Hub Industri Produk dan Makanan Laut Serantau, Hub Industri Batik Dunia serta Hub Industri Pembangunan dan Pembaikpulih Kapal Negara.
“Kita juga mahu menjadikan negeri ini sebagai Hub Pembangunan Sumber Manusia bagi Industri Minyak dan Gas, Hub Industri Galian Negara, Hub Industri Pembekalan Air, Pembangunan bersepadu dengan jariangan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pemerkasaan pertanian dan asas tani menerusi rantaian nilai lengkap.
“Justeru, saya mengajak semua pihak untuk berganding bahu membina dan membangunkan negeri ini yang mana peranan pembuat dasar, enjin pelaksana strategi, pimpinan pentadbiran kerajaan negeri, seluruh jentera kerajaan serta rakyat adalah sama penting dan mempunyai peranan masing-masing,” katanya. – HARIAN METRO
KOMEN