Kuala Lumpur: Malaysian Building Society Bhd (MBSB) melengkapkan proses terakhir untuk menjadi bank Islam sepenuhnya selepas menerima kelulusan daripada pemegang sahamnya.
Kelulusan itu diperoleh selepas pemegang saham meluluskan resolusi pengambilalihan keseluruhan faedah ekuiti dalam Asian Finance Bank Bhd (AFB) menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Zaini Othman berkata, kemunculan MBSB dalam platform perbankan membolehkannya mendapat akses kepada sumber dana yang sebelum ini tidak boleh dilakukan seperti deposit akaun semasa dan dana antara bank.
Katanya, MBSB juga boleh menawarkan produk perbankan Islam dan perkhidmatan seperti kemudahan dagangan.
“Selepas kelulusan ini diperoleh, kami akan memulakan proses integrasi dengan AFB serta mula mencari peluang perniagaan dalam platform kewangan.
“Selaras dengan perubahan yang bakal berlaku, kami juga akan dikenali dengan nama baru selepas ini.
“Nama itu dicadangkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan ia dijangka diumumkan April depan,” katanya pada sidang media selepas EGM itu.
Mengulas lanjut mengenai produk pembiayaan yang ditawarkan, Ahmad Zaini berkata, pihaknya akan mengekalkan nisbah 70 peratus bagi pembiayaan runcit dan 30 peratus pembiayaan korporat.
“Bagi pembiayaan korporat, kami juga merancang membabitkan diri dengan lebih aktif dalam segmen hartanah dan rumah mampu milik,” katanya.
Cadangan pengambilalihan berkenaan akan menyaksikan MBSB menjadi syarikat pegangan kewangan AFB dan membolehkan MBSB memperoleh 532 juta saham AFB.
Sementara itu, Ahmad Zaini turut menegaskan tiada pemberhentian pekerja akan dilakukan berhubung pengambilalihan itu.
“Tiada sebarang skim pemisahan sukarela (VSS) atau skim pemisahan bersama (MSS) akan ditawarkan.
“Kami telah melantik konsultan sumber manusia untuk menstruktur semula keperluan tenaga kerja bagi mencari kakitangan yang sesuai untuk jawatan yang ada,” katanya.
-HARIAN METRO
KOMEN