SHAH ALAM 25 Jan. – Pengasas Semboyan Satu Malaysia, Muhammad Yusuf Azmi menyeru orang ramai agar berhemah ketika membicara mengenai isu jantina, Jutawan Kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman.
Katanya, Islam mengajar kita cara terbaik dalam mengendalikan isu ini.
“Saya sebenarnya bukan ahli nak bercakap soal ini, tapi saya cuma nak beritahu ada cara nak nasihat golongan ini.
“Kita kena tarbiyah mereka, ajak kepada Islam jangan jauhkan mereka daripada Islam,” katanya kepada Sinar Online bersempena program Live bersama Sinar hari ini.’
Isu ini kembali menjadi perbualan ramai apabila Jakim sebelum ini, menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Nur Sajat.
Membalas pelawaan itu kemudiannya, Nur Sajat menyatakan kesedian untuk bertemu Jakim.
Dalam pada itu, Jakim dijangka mengambil tempoh yang agak panjang bagi mengesahkan identiti sebenar Nur Sajat.
Menurut Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, dijangkakan tempoh itu dalam sebulan paling minima.
Nur Sajat kemudiannya menyatakan beliau hanya mengikut arahan Jakim dalam isu ini.
Dalam pada itu, Muhammad Yusuf turut menitipkan nasihat buat Nur Sajat dalam mendepani isu ini.
“Saya nak beritahu kepada Sajat cuba lawan naluri yang ada dalam itu, dekat dengan ALLAH, lawan, sebab tiada perkara dalam hidup ini ALLAH turunkan adalah untuk rosakan kita.
“Perlakuan dia yang lain bukan baik…tetapi soal naluri terlalu kuat jadi sukar untuk dia jadi kena lawan, oleh itu masyarakat perlu beri ruang dan peluang untuknya berubah dan kembali ke pangkal jalan,” katanya lagi. – SINAR HARIAN
KOMEN