PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan menggerakkan segala usaha bagi memastikan isu akidah umat Islam tidak diperkotak-katikkan pihak tertentu.
Menurut kenyataan Bahagian Media dan Teknologi Dakwah Yadim di sini pada 21 Februari, selaku badan dakwah, ia sedia melaksanakan pelbagai langkah agar isu itu difahami masyarakat sebaiknya.
“YADIM akan menggerakkan jentera dalaman di peringkat pusat dan negeri bagi mempergiatkan usaha berkenaan dan YADIM memainkan peranan penting dalam isu akidah,” kata kenyataan itu.
Gerakan itu akan diperkasakan dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) Islam terutama 280 organisasi bawah Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM).
Jelas kenyataan itu, sememangnya tindakan undang-undang serta penguatkuasaan amat penting, namun aspek pendidikan, kesedaran dan keprihatinan juga perlu dititik berat.
Justeru, YADIM menyambut baik ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam isu murtad yang tular ketika ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa kerajaan akan segera menggubal Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam demi memelihara akidah Muslim di Wilayah Persekutuan.
Kenyataan YADIM susulan tindakan seorang lelaki India bukan Islam di Johor yang mendakwa telah berjaya memurtadkan Muslimah.
Susulan pengakuan individu berusia 29 tahun menerusi media sosial, polis menyerbu rumah individu berkenaan di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
Bagaimanapun, lelaki tersebut sudah melarikan diri dan kes berkenaan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan. – UTUSAN
KOMEN