KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sekiranya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.
Memetik laporan Malaysiakini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan setiap warganegara Malaysia mempunyai hak masing-masing.
Justeru, beliau berpendapat warganegara tidak kira sama ada mereka LGBT atau bukan, sekiranya mereka tidak melakukan jenayah maka pihaknya tidak akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka.
“Walaupun perbuatan golongan LGBT itu berdosa namun sekiranya ia tidak mencabar undang-undang negara, pihak kami tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan.
“Perbuatan LGBT haram. Kalau buat sembunyi-sembunyi pun tetap haram tetapi itu antara dia dan ALLAH. ALLAH akan membalas di atas perbuatan mereka tetapi kalau secara terang-terangan beritahu dan kata seronok dengan perbuatan itu, kita boleh ambil tindakan.
“Contohnya, minum arak berdosa, haram. Kalau dia minum secara terbuka dan berkata “suka hati aku nak minum” itu jenayah. Kerana mencabar undang-undang, ruang personal, ruang publik,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Serai itu, beliau akan terus melakukan dialog serta mendekati golongan berkenaan bagi memberi penjelasan bahawa perbuatan dilakukan mereka bercanggah dengan ajaran Islam.
“Secara moralnya, itu dia ada dia punya ruang personal. Tetapi jangan memberi galakan di ruang publik sebab ia akan menjadi jenayah. Kalau di ruang personal, tiada siapa, sebagai Muslim tetap bersalah dan berdosa.
“Di sini kita perlukan dialog. Dialog bukan bermakna menyokong. Kita tak sokong LGBT, ia perbuatan bercanggah dengan Islam, melanggar moral dan adat.
“Tetapi dengan dialog kita akan dapat banyak faedah untuk saya jelaskan pada mereka,” katanya lagi. – SINAR HARIAN ONLINE
https://www.sinarharian.com.my/nasional/isu-lgbt-tiada-tindakan-jika-tak-lakukan-jenayah-1.853426
KOMEN