PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan isu label tidak halal pada produk kacang keluaran Syarikat Ngan Yin Food Industries Sdn. Bhd. dan Pagoda Foods (Malaysia) Sdn. Bhd. baru-baru ini adalah tular berulang.
Bahagian Hab Halal, Jakim menerusi kenyataan akhbar berkata, pihaknya mendapati isu itu mula tular minggu ini sekali gus mengundang keresahan dan salah faham pengguna.
Menurutnya, sebagai makluman, ia adalah tular berulang dan pernah dijelaskan oleh Jakim sejak tahun 2016.
“Berdasarkan semakan, produk kacang keluaran Syarikat Ngan Yin Food Industries Sdn. Bhd. dan Pagoda Foods (Malaysia) Sdn. Bhd. adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
“Manakala produk kuaci keluaran Chacheer (Malaysia) Sdn. Bhd. juga mempunyai pengesahan halal dari Shandong Halal Certification Service (SHC) yang juga badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim di negara China,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga syarikat berkenaan sudah memberi penjelasan berkaitan isu itu menerusi hebahan di media sosial. -K! ONLINE
KOMEN