PEGAWAI-pegawai untuk Suruhanjaya Maklumat (ICO) menyerbu premis Cambridge Analytica di tengah London, malam Jumaat selepas hakim Mahkamah Tinggi mengeluarkan waran.
Pesuruhjaya Maklumat, Elizabeth Denham telah memohon akses segera untuk meneliti rekod-rekod Cambridge Analytica, sebuah syarikat yang dituduh mengambil data 50 juta pengguna Facebook tanpa kebenaran.
Siasatan yang dibuat termasuklah pemerolehan dan penggunaan data Facebook oleh Cambridge Analytica, syarikat induknya SCL dan ahli akademik Dr Aleksandr Kogan, yang mengembangkan aplikasi yang digunakan untuk mengumpul data.
Ia berpunca dari dakwaan pengambilan data peribadi dan sama ada ia digunakan semasa kempen presiden Amerika Syarikat Donald Trump atau referendum Brexit.
Pada pukul 8 malam Jumaat, kurang dari satu jam selepas waran itu diberikan oleh Hakim Leonard QC, kelihatan sekumpulan 18 orang dengan beberapa daripadanya memakai jaket penguatkuasaan ICO, dipimpin oleh seorang wanita yang memegang sekeping kertas, dipercayai waran menuju ke pejabat firma itu.
Mereka menaiki tangga di bangunan di New Oxford Street, London dan dilihat pergi ke tingkat dua, di mana Cambridge Analytica mempunyai pejabat di situ.
Sebelum itu, Pejabat Suruhanjaya Maklumat berkata ia ‘gembira dengan keputusan’ hakim itu.
Akaun Twitternya menulis: “ICO mendapat waran. Kami gembira dengan keputusan hakim dan merancang untuk melaksanakan waran itu tidak lama lagi.”
Para pegawai di tingkat satu dan dua dilihat mengambil gambar papan putih dan komputer, sementara seorang lelaki mengambil nota di papan klip.
Ketua eksekutif firma itu, Alexander Nix telah digantung sementara pengasas Facebook Mark Zuckerberg telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada ahli Parlimen.
Selepas perbicaraan di Mahkamah Tinggi London pada Jumaat, Hakim Leonard berkata beliau akan memberikan sebab terhadap keputusannya pada Selasa.
Facebook telah mengaku tentang ‘perlanggaran utama kepercayaan rakyat’ dan mengumumkan penyiasatan ke atas pengambilan dan penjualan data peribadi berjuta-juta pengguna.
Gergasi media sosial itu menyatakan bahawa ia tidak ‘layak untuk memberi khhidmat’ kepada penggunanya melainkan jika ia dapat melindungi maklumat peribadi mereka dan mengaku harus memulihkan kepercayaan orang awam.
Mark Zuckerberg mengakui bahawa kesilapan telah dibuat selepas maklumat peribadi orang ramai dilepaskan tanpa kebenaran mereka.
Dia melancarkan siasatan ke atas semua pemaju yang diberikan akses kepada data peribadi dalam jumlah yang besar. -TheTelegraph
KOMEN