Seremban: Tiada kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terbabit dengan kegiatan penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import untuk pasaran tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau sudah melawat dan meninjau makmal halal Jakim dan dapat melihat kesungguhan setiap pegawai serta kakitangan dalam menjalankan tugas.
“Saya beri peringatan kepada diri saya dan juga agensi di bawah saya untuk bekerja dengan betul, tekun, ikhlas dan jujur, mempunyai integriti yang tinggi, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni Gelandangan dan Melancarkan Kelas Bimbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Gelandangan Dapur Kausar, di sini, petang ini.
Turut hadir Yang Dipertua Yadim Nasarudin Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Kamarul Arief Tuan Soh, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Mohd Zaidi Ramli dan Pengurus Operasi Dapur Kausar Sakura Azlin Ali Akbar.
Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, Jakim akan melakukan gerakan kerjasama membabitkan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan termasuk di peringkat negeri, untuk memantau sebarang kegiatan pemalsuan logo halal.
“Insya-Allah kita (Jakim) akan membuat pemantauan membabitkan kerjasama dengan badan-badan serta kementerian yang berkaitan.
Di samping itu kita juga akan bergerak berhubung dengan kerajaan negeri untuk melihat dengan lebih dekat lagi dan memastikan halal ini jelas dan benar-benar diperakui dan tidak diragui lagi,” katanya.
Dr Zulkifli turut mengucapkan terima kasih terhadap pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dapur Kausar yang mengambil langkah membuka kelas pengajian agama untuk golongan mualaf dan gelandangan.
“Kerjasama seperti ini dapat tingkatkan syiar dan kefahaman Islam, insya-Allah, Yadim menyantuni seluruhnya tanpa mengira bangsa, bahasa dan juga warna kulit termasuk agama dalam menyampaikan bantuan,” katanya.
KOMEN