SHAH ALAM – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa Rabu ini bagi membincangkan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Pengerusinya, Aminuddin Yahya berkata, pihaknya menerima jemputan itu hari ini untuk mengadakan perbincangan yang dijadualkan berlangsung jam 8.00 malam di Putrajaya.
Bagaimanapun, katanya, butiran perbincangan tidak diketahui memandangkan ia tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.
“Surat itu dihantar kepada individu dalam persatuan di bawah gabungan Ummah ini, iaitu Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
“Ada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Ummah dengan dua wakil dari setiap pertubuhan dijemput hadir dalam pertemuan bersama menteri nanti. Jika isu ICERD tidak dibangkitkan dalam pertemuan itu, kami sendiri akan utarakan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditanya berhubung respons kerajaan susulan memorandum dihantar Ummah di bangunan Parlimen, Rabu lalu.
Dalam memorandum bantahan ICERD yang dihantar Ummah, gabungan NGO Islam itu menggariskan tiga perkara utama supaya diberi perhatian kerajaan.
Ia melibatkan tuntutan Ummah supaya kerajaan berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai ICERD, tidak sesekali berniat menggugat hak orang Bumiputera dan Melayu serta pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan isu berbangkit dalam masa terdekat.
Memorandum itu diberikan kepada Timbalan Menteri di JPM (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr Md Farid Md Rafik. – Sinar Harian
KOMEN