BANGI, 24 Januari – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan masyarakat Islam khususnya golongan muda untuk menjaga maruah dan menerapkan perasaan malu dalam diri masing-masing dari melakukan perkara yang bertentangan dalam Islam.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan 39 lelaki yang berbogel dalam satu aktiviti sukan di sebuah pusat peranginan di Pahang semalam.
Katanya, apa yang dilakukan mereka adalah tindakan yang tidak baik dan dianggap sebagai kurang maruahnya.
“Ini kerana, dalam tubuh kita ini ada kemaluan, ada tempat yang mana kita wajib menutupnya. Sebab tu dalam Islam ada bab menutup aurat. Mereka perlu tutup anggota sulit dan aurat lain melainkan terhadap isteri dan hamba sahaya milik mereka.
“Jadi, konsep seperti ini patut kita kekalkan kalau kita orang Islam kerana dinaskan seperti itu. Kita perlu ada rasa malu, kita ada maruah diri, kita ada kaum keluarga, tambahan pula kalau diviralkan seperti itu,” katanya kepada Ismaweb, di sini hari ini.
Difahamkan, 39 lelaki berkenaan bertindak demikian ketika terlibat dalam permainan ‘All Out’ yang memerlukan mereka membuat garisan panjang dengan menggunakan alatan pada badan peserta.
Ketika sesi permainan, dilaporkan para peserta mulai menanggalkan pakaian untuk membentuk garisan panjang dan menyebabkan keadaan berlarutan sehingga mereka menanggalkan keseluruhan pakaian di badan mereka dan berbogel.
Mengulas situasi itu, Datuk Zulkifli berkata, apapun istilah dan sebab yang mereka gunakan, ia tetap tidak boleh.
“Walaupun ada istilahkan ianya sebagai kebebasan, biarlah kebebasan itu ada sifat malu yang membezakan antara manusia dan haiwan.
“Malu tidak datang kecuali dengan yang baik dan sifat seperti ini perlu dipupuk pada anak-anak, keluarga dan semua orang.
“Tebalkan perasaan malu sekiranya ia bercanggah dengan sifat norma manusia. Menjaga tatasusila adalah lambang kemuliaan akhlak peribadi seorang muslim,” katanya.
KOMEN