PUTRAJAYA – Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kesal dengan penganjur Debat Piala Tun Razak yang mengemukakan tajuk yang boleh menjejaskan aqidah anak-anak muda kita di bangku sekolah.
Debat Piala Tun Razak yang berlangsung di Sekolah Datuk Abd Razak Seremban pada 11 hingga 13 Oktober membawa topik yang bertentangan dengan agama Islam seperti tajuk penulisan semula Al Quran dan amalan homoseksualiti yang turut dilarang dalam perundangan Malaysia.
Walaupun penganjurnya sudah memohon maaf namun mereka perlu bertanggungjawab terhadap kemudaratan yang telah berlaku ekoran dari kejadian ini.
Islam menggalakkan kebebasan bersuara dan hak untuk menyatakan pendapat tetapi ianya mestilah berasaskan hujah dari sumber yang sahih dan tidak berpandukan akal dan nafsu semata-mata.
MAWAR-YADIM memohon pihak Kementerian Pendidikan mengambil perhatian serius terhadap perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar peraturan dan garis panduan penganjuran debat yang telah ditetapkan kementerian.
Ini untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan mengembalikan keyakinan ibu bapa yang mahu anak-anak mereka dididik mengikut lunas-lunas agama yang benar.
Semoga kita semua dapat berganding bahu membangunkan sebuah masyarakat berasaskan kepercayaan yang benar dan berakhlak mulia dalam Malaysia menuju Negara Rahmah.
Dr Hafidzah Mustakim Pengerusi MAWAR-YADIM
KOMEN