Oleh ABDUL HAYEI ABDUL SUKOR
Dr Abdul Hayei Abdul Sukor ialah Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2011 dan bekas Dekan dan Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Sabda Rasulullah SAW: ‘Dunia ini satu kenikmatan. Sebaik-baik kenikmatan di dunia ialah isteri solehah.” (HR Muslim. al-Rada`, no. 1467 daripada Abdullah bin Amru. Hadis Sahih).
Rasulullah SAW menerusi hadis ini mengingatkan para suami kepada peri pentingnya isteri yang baik kerana isteri yang baik adalah sebaik-baik kenikmatan yang dicapai seseorang di dunia ini. Andainya sebuah keluarga yang dipimpin seorang suami, di sisinya seorang isteri yang baik dan setia kepada suami dalam perkara yang maaruf, rumah yang dibina pasangan ini mampu menjadikannya sebuah syurga sebelum menuju syurga hakiki yang dipenuhi kenikmatan dan kebahagiaan. Sebaliknya, seorang isteri yang bersifat derhaka, hanya mampu mendirikan rumah tangga bagaikan sebuah neraka yang membawa pelbagai kecelakaan dan kesengsaraan.
Syeikh Mutawalli al-Sya`rawai ketika menjawab soalan siapakah golongan wanita yang soleh, beliau berkata: “Wanita yang soleh ialah isteri yang patuh kepada suaminya.” Beliau merujuk kepada firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 34 yang bermaksud: “…Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya…”
Siapa dia wanita baik dan tidak baik?
Wanita yang baik ialah isteri yang bersabar atas amarah suaminya, bersabar atas kemiskinannya dan sedia berkongsi dengan suami dalam kehidupannya yang dihimpit pelbagai masalah dan penderitaan. Wanita yang tidak baik pula ialah isteri yang segera mencemuh suaminya, segera mengadu perihal kesempitan hidup dan kurang sabar atas kemiskinannya. Malah, ada yang meminta dirinya dicerai atau diminta tebus talak kerana tidak sedia berkongsi hidup bersama suami yang sekali-sekala berhadapan dengan masalah-masalah hidup.
Wanita yang baik ialah isteri yang mengawal suaminya dari terjerumus ke dalam perbuatan keji dan mungkar. Jika suami terjebak dengan sesuatu yang tidak diingini, isteri segera membantunya dengan menunjuk jalan alternatif yang yang halal dan diredai Allah SWT.
Pada umumnya, isteri yang baik adalah satu kenikmatan bagi suami tanpa mengira keistimewaan-keistimewaannya yang lain seperti kecantikan rupa paras, akhlak dan pekertinya yang mulia, serta asal usul keluarganya yang terbilang. Apatah lagi jika wanita yang dipilih sebagai isteri itu memang baik orangnya, digabungkan dengan rupa parasnya yang cantik, pendidikan tinggi dan dari keluarga yang dikenali.
Wanita yang baik ialah isteri yang melayani suaminya bila-bila masa yang dikehendaki walaupun ketika dia sedang memasak makanan di dapur, kecuali jika dia dalam keuzuran yang dilarang syarak melayaninya.
Antara perkara yang menyenangkan suami dan menjadikan hidupnya bahagia ialah melihat isterinya sentiasa riang, bersih, indah menarik dan kemas. Keadaan ini mampu menambat hati suami lebih dari susuk emas yang ditanam dicelah-celah kulit atau hembusan mentera untuk menundukkan suami. Perlu juga diambil perhatian, isteri yang berhias untuk orang luar tetapi comot di hadapan suami boleh melonggarkan ikatan kasih, di samping suami mudah terpikat kepada wanita lain.
Wanita yang baik ialah isteri yang mendidik anak-anaknya dengan akhlak yang mulia dan budi bahasa yang tinggi, sedangkan wanita yang kurang baik pula ialah isteri yang membiarkan anak-anak mereka dihasut syaitan yang mempengaruhi mereka dengan unsur-unsur yang negatif. Rasulullah SAW mengingatkan bakal-bakal suami agar tidak memilih wanita yang diungkapnya dalam simpulan bahasa “Khadra` al-Diman” lalu Nabi menjelaskan maksudnya iaituالْمَرأةُ الْحَسْنَاءُ فِي الْمَنبَتِ السُّوء الألباني، ضعيف جدا (wanita yang terdidik di persekitaran yang rendah akhlak). Perumpamaannya adalah seperti rumput segar yang hidup di tepi longkang. Mungkin ramai kaum lelaki mempunyai isteri yang cantik, bergaya dan rupawan, tetapi amat sedikit wanita yang berakhlak mulia, berbudi bahasa dan berpekerti tinggi.
Pengajaran dan saranan
- Penghargaan yang tinggi diberi Nabi SAW kepada wanita yang berakhlak mulia.
- Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan pendidikan agama bagi menjamin kemuliaan peribadi dan kesopanan mereka.
- Rasulullah SAW merangsang kaum lelaki memilih wanita yang taatkan kepada suami untuk dijadikan isteri.
- Nikmatilah sesuatu yang halal supaya hidup ini diberkati Allah.
SUMBER : MAJALAH DAKWAH
KOMEN