KUALA LUMPUR – Kerajaan China berhasrat mempelawa Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengadakan lawatan lapangan ke Beijing dan Xinjiang pada April atau Mei ini untuk mendapatkan perkembangan di wilayah itu secara langsung serta sahih, kata Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.
Ini kerana katanya, hubungan Malaysia-China berkembang pesat dengan mantap sejak terjalinnya hubungan diplomatik dan secara tidak langsung kefahaman serta keyakinan satu sama lain dipertingkatkan melalui dialog.
“Saya yakin kerajaan Malaysia akan mengekalkan pendirian objektif dan adil.
“Saya juga berharap isu Xinjiang menjadi isu positif bagi umat Islam kedua-dua negara untuk meningkatkan kefahaman satu sama lain, bukannya (tertumpu kepada) isu negatif,” katanya dalam temu bual dengan beberapa media tempatan termasuk Bernama di Kedutaan China di sini pada 7 Januari.
Beliau mengulas laporan media berhubung kenyataan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah yang memaklumkan kerajaan melantik ISTAC untuk mengkaji dan mengesahkan laporan berita berhubung etnik Uighur di Xinjiang.
Bai berkata, kerajaan China mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia ke Xinjiang untuk melihat sendiri keadaan di sana.
Katanya, agensi pelancongan di Malaysia bersetuju melakukan penerbangan sewa khas dari Kuala Lumpur ke Urumqi di Xinjiang, jika mempunyai jumlah pelancong mencukupi.
“Jika terdapat agensi pelancongan yang membawa rombongan melancong ke Xinjiang, kami akan menyediakan perkhidmatan lebih mudah supaya mereka boleh mendapatkan visa lebih lancar dan pantas,”katanya. – Bernama
KOMEN