Home » Langit Terbuka » Islam dijamin lebih baik

Islam dijamin lebih baik

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa

 

PARIT BUNTAR – Amanah memberi jaminan pentadbiran agama Islam akan menjadi lebih baik di bawah seliaan kerajaan Harapan, terutama dalam aspek pemberdayaan institusi yang bergerak dalam kerangka ajaran Al-Quran dan Hadis sahih.

Naib Presidennya, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, selaras dengan artikel 3 Perlembagaan Malaysia menjelaskan Islam sebagai agama resmi persekutuan sebagai teras negara ini sentiasa dibela dan dijamin oleh Harapan.

Menurutnya, adalah penting untuk membuat pengisian Islam lewat kemunculan politik baharu melalui pendekatan yang lebih inklusif dan progresif.

“Kedua, pemberdayaan institusi Islam dan agensi Islam yang bergerak dalam kerangka kerajaan baharu disuntik dengan nilai Islah dari sudut roh dan pengisiannya seperti Jakim, Jabatan Agama, Jabatan Kehakiman Syariah, Zakat, Waqaf, Yadim dan sebagainya.

“Kesemua institusi ini jika berjaya dibaik pulih melalui pelan tindakan Islah besar-besaran akan memantulkan pentadbiran Islam yang kompeten dan berwibawa justeru dihormati dan dipandang tinggi,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, tema besar hasrat kerajaan Harapan adalah dengan membumikan Islam yang penuh rahmat untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama kerana itu adalah ajaran Islam sebenar.

Menurutnya, segmentasi Islam hanya untuk orang Islam sebelumnya, kini melalui Harapan akan dirungkaikan kepada nilai keterangkuman sejagat walaupun persoalan kepercayaan dan ritual kekal dalam daerah khusus masing-masing.

“Begitu juga peranan Maqasid Syariah dalam kerajaan Harapan akan membuka ruang agar pentadbiran negara keseluruhannya tidak akan bercanggah dengan prinsip-prinsip teras Islam.

“Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab besar kerajaan Harapan melalui pentadbiran Islam untuk mencapai keharmonian kaum dan agama dengan membudayakan dialog antara agama yang sihat dan aktiviti kemanusiaan lain diizinkan oleh agama,” katanya.

Mujahid berkata, Amanah bersama Harapan mahu melihat Islam dan agama lain yang bebas diamalkan di Malaysia bergabung tenaga membentuk negara aman dan sejahtera.

Menurutnya, unsur kebencian antara agama melalui apa sahaja medium tidak boleh ditolak ansur kerana bakal menggugat asal kerencaman agama yang terdapat di dalam struktur negara kita.

“Inilah Islam sebagai pembawa mesej kerahmatan untuk semua penduduk di negara ini.

“Memandangkan Islam adalah teras yang tidak terpisah dalam kerangka negara ini, ia perlu memainkan peranan besar dalam Malaysia Baru yang dipilih oleh rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, ia akan memastikan apa yang dihasratkan iaitu Pentadbiran Islam adalah lebih baik bersama kerajaan Pakatan Harapan,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *