BATU KURAU – Kampung Anak Kurau di sini menjadi lokasi seterusnya program Is’ad Al Usrah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 22 Ogos.
Program kali ini menyantuni Khazimah Abdul Wahab, seorang warga emas yang tinggal sendirian di rumahnya di sini.
Menariknya, rumah ini merupakan lokasi program Aduhai Desaku Villa Al Falah, yang juga anjuran badan dakwah ini, 13 tahun lalu.
Mengambil semangat ukhuwah yang kekal terjalin, YADIM menjejaki kembali kediaman ini untuk menyantuni penghuninya bagi memastikan tidak rasa ditinggalkan.
Kakitangan YADIM yang melaksanakan tinjauan awal ke kediaman ini sebelum ini mendapati ia berada dalam keadaan uzur, terutamanya bahagian dapur.
Dinding rumah pula mulai reput sudah banyak berlubang.
Seawal jam 9 pagi, kerja kerja pembaikan dan pembersihan rumah dilaksanakan di kediaman warga emas berkenaan.
Kawasan luar rumah dibersihkan dan dicat semula, rumput dipotong, dahan pokok yang panjang di cantas dan halaman rumah juga diturap dengan batu.
Kerja kerja pembaikan dan pembersihan ini dilakukan oleh kakitangan dan Sukarelawan YADIM serta penduduk tempatan.
Yadim turut menyumbang beberapa peralatan rumah kepada Khazimah seperti almari, tikar getah, dapur gas dan sebagainya.
Dalam pada itu, pada sebelah malam pula diadakan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM di Masjid Ridzuaniah di sini.
Program akan bersambung pada 23 Ogos dengan acara Cuci Cuci di Masjid Batu 14 di sini, penyerahan sumbangan kepada asnaf selain perasmian program oleh Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berbahagia Dato’ Dr Fakhruddin Abdul Mukti.
KOMEN