Home » Analitis » Institusikan Mekanisme Diyat

Institusikan Mekanisme Diyat

Siri 8 Mutiara Minda yang membicarakan tentang isu pemandu mabuk

HIDUP Ali yang bekerja sebagai despatch semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang sukar. Jika dalam keadaan normal, gaji bersih yang dibawa pulang pada setiap hujung bulan ialah kira-kira RM1,500. Bagaimanapun kerana ketiadaan pekerjaan’ semasa PKP, pendapatannya menurun kepada hanya RM500 sahaja sebulan itupun atas ihsan majikannya sebagai bantuan sara hidup.

Jumlah itu memang tak cukup – anak-anaknya seramai lima orang, isteri tidak bekerja, sewa rumah dan segala perbelanjaan yang terpaksa ditanggung. Alternatifnya, Ali buat kerja part time sebagai penghantar makanan, Alhamdulillah dapat tampung mana-mana yang lompong, legalah sikit.

Malang tidak berbau, Ali dijemput Ilahi setelah terlibat dalam kemalangan semasa sedang bekerja. Dia bukannya merempit atau bawa motosikalnya secara melulu tapi akibat disondol oleh pemandu tidak waras yang memandu dalam keadaan mabuk.

Kasihan nasib keluarga Ali, anak-anaknya masih kecil. Seperti biasa, para netizen gegak gempita mengutuk perbuatan pemandu mabuk itu dan bersimpati dengan keluarga Ali sambil menaip Al-Fatihah (tidak pasti sama ada dibaca atau sebaliknya) disusuli juga dengan emoji sedih.

Jika setiap kutukan terhadap pemandu tidak bertanggungjawab itu dan emoji sedih dapat menambahkan wang ke dalam akaun simpanan keluarga Ali, mungkin ia boleh diterima. Hakikatnya bukan macam itu, apabila sudah sejuk, tragedi menimpa keluarga Ali bakal dilupakan, namun keluarga itu tetap perlu meneruskan kehidupan seperti biasa meskipun mereka semestinya amat menderita.

Mungkin pemandu itu bakal dipenjara atau didenda, namun kebajikan keluarga Ali apa cerita !? Hina sangatkah sistem keadilan Islam, tiadakah mekanisme khusus dan terbaik bagi menjaga kebajikan mereka? Ramai pendakwah di luar sana berdegar-degar dalam pelbagai ceramah mengatakan kesyumulan dan keadilan Islam. Takkanlah dalam kes Ali ini yang mungkin dianggap sebagai ‘terpencil’ bagi segelintir tidak wujudnya penyelesaian terbaik secara khusus?

Instrumen ini antara yang dibincangkan dalam program Live Streaming: Mutiara Minda Siri 8 “Isu Pemandu Mabuk” hari ini, 11 Jun 2020 dalam Facebook Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Panelisnya amat hebat iaitu Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Ab Majid dan Pakar Undang- Undang, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, sambil Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh bertindak sebagai moderator.

Perbincangan itu sebenarnya seperti terus melompat ke ‘gear 3’ apabila Prof Mahmood memberi bola tanggung dengan menarik perhatian umum apabila menyindir pendakwah yang terlalu banyak bercakap tetapi pada masa sama kurang bekerja.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar metodologi dakwah perlu diubah iaitu “Bekerja untuk Islam, bukannya bercakap untuk Islam” sambil menegaskan bahawa Islam itu amat hebat dan rahmatnya tidak terhad kepada agama, bangsa dan kaum khusus sahaja, sebaliknya menjangkau seluruh manusia.

“Isu pemandu mabuk bukan benda baharu, biarlah pihak berkaitan bercakap tentang penguatkuasaan undang-undangnya. Apa yang perlu difokuskan sekarang ialah apa nasib keluarga mangsa yang menderita kerana kematian ketua ketua keluarga akibat perbuatan pemandu mabuk. Ada sesiapa terfikir, macam mana mereka nak hidup, makan minum pakai mereka macam mana selepas ini?

Antara cadangan Prof Mahmood:

* Mekanisme Diyat ‘wajib’ diinstitusikan, bukannya sekadar cadangan retorik bermusim

* Insurans atau takaful kenderaan perlu dimasukan rider Diyat iaitu sebagai jaminan ia akan dibayar kepada mangsa kemalangan.

* Institusi Diyat secara tidak langsung dapat menyebarluas kehebatan agama Islam kerana keadilan Diyat bukan hanya khusus untuk orang Islam sahaja tetapi turut terpakai kepada semua pihak tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

* (Diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh pesalah kepada wali atau waris mangsanya sebagai gantirugi disebabkan kesalahan yang dilakukannya ke atas mangsanya).

“Sulh dan Diyat ni kena bincang dan explore, metodologi dakwah kena ubah, jangan bila tengok orang mati kena langgar oleh pemandu mabuk, kita akan sebut…oooo mati kena langgar, setakat tu jah, padahal kita dan sesiapa sahaja tidak mustahil akan alami tragedi sama.

“Kita kena kayuh sama-sama, undang-undang kena gambarkan aspirasi dan kehendak masyarakat, kalau tidak ia akan jadi seperti undang-undang terbengkalai,” kata Prof Mahmood.

Dalam pada itu, Prof Madya Shamrahayu bersetuju dengan pandangan Prof. Mahmood sambil menjelaskan bahawa sebenarnya terdapat peruntukan gantirugi dalam beberapa undang-undang tapi kadang-kadang ia jarang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan, antaranya beliau memberi contoh peruntukan Seksyen 426 Kanun Prosedur Jenayah (Perintah Pembayaran Kos Pendakwaan Dan Pampasan)

“Netizen dan masyarakat ada yang minta hukuman mati dikenakan dan macam-macam lagi kepada pemandu mabuk. Ia adalah lumrah apabila emosi menguasai namun ia tidak semudah itu. Apa yang penting pihak berkuasa perlu laksanakan undang-undang sedia ada, adakah selama ini ia benar-benar dikuatkuasakan?,” katanya.

Beliau memberi contoh:

* Penguatkuasaan larangan masa jualan arak

* Larangan menjual arak kepada individu usia bawah 21 tahun

* Pada 2013 terdapat Pelan Tindakan Alkohol yang berakhir pada 2020 – apa pencapaiannya, apa kelemahannya, bagaimana statusnya?

Pada akhir siaran secara langsung itu, kesemua panelis dan moderator berharap agar hasil perbincangan itu tidak sekadar menjadi ‘program cakap-cakap sahaja’ tapi sebaliknya perlu direalisasikan. Langkah susulan bakal digerakkkan atas kapasiti dan kemampuan masing-masing sambil melibatkan pelbagai agensi berwajib yang lain. Insya Allah doakan yang terbaik untuk usaha murni ini.

*Rakaman penuh Mutiara Minda Siri 8 boleh ditonton di saluran You Tube Yadim TV

Tarmizi Abdul Rahim ialah mantan Ketua Meja Agama di Utusan Malaysia
Berpengalaman luas sebagai wartawan, kini menyumbangkan penulisannya di pelbagai platform.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *