KUANTAN – Peranan institusi diraja sebagai simbol perpaduan dan pencetus semangat nasionalisme dan patriotisme masih relevan di negara ini yang mempunyai kepelbagaian politik, sosial dan ekonomi, titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.
Baginda bertitah peranan institusi itu semakin relevan ketika negara berdepan dengan pelbagai ancaman globalisasi melalui penyebaran teori modenisasi dan demokrasi ala barat yang menyebabkan berlaku pertembungan dengan nilai jati diri negara.
“Dalam konteks ini adalah bertepatan bagi (institusi) Raja Berperlembagaan berperanan sebagai mekanisme penyatuan kepada kepelbagaian budaya, agama serta penangkis kepada ancaman kemakmuran dan keamanan negara.
“Selain itu, keunikan negara kita turut memerlukan satu institusi berkecuali yang tinggi kedudukannya untuk menegur, menasihat dan memberi buah pandangan.
“Jika tiada institusi seperti ini, maka kesepaduan dan patriotisme serta kesetiaan kepada negara, lama-kelamaan akan terhakis,“ titah baginda pada Majlis Wacana Diraja: Raja, Perlembagaan dan Patriotisme, di sini. – Bernama
KOMEN