Home » Wacana » Insan Soleh

Insan Soleh

 

Oleh MOHD SHAUKI ABD MAJID

Dalam mengharungi jalan kehidupan dunia ini, orang tua-tua terdahulu mengajar kita agar “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian”, menuntut kita “bersakit-sakit dahulu, agar bersenang kemudian”. Manakala ada pula sesetengah manusia hidupnya senang sepanjang masa sehingga lupa diri.

Al-Quran menjelaskan bahawa kehidupan yang baik adalah apabila kita dapat memelihara iman dan mengisinya dengan amal dan perbuatan salih. Justeru, walaupun seseorang itu hidup sangat sederhana di pondok kecil tetapi dia dapat mempertahankan imannya daripada godaan hidup duniawi, maka Islam menganggap bahawa itu adalah hidup yang baik.

Ada sesetengah manusia asalnya kuat beribadat, siang malam ke masjid, kemudian Allah hendak menduganya lalu memberikannya nikmat yang besar berupa pangkat dan harta atau sebagainya.

Kemewahannya itu akhirnya menyebabkan dia lalai dan tidak sempat lagi untuk solat atau melaksanakan amalan-amalan baik. Islam menjelaskan kehidupan seumpama ini adalah kehidupan yang paling rugi kerana dia kehilangan imannya meskipun kehidupannya amat mewah.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan amal salih? Islam menjelaskan bahawa sesuatu amal yang dapat memberi manfaat yang besar untuk diri kita dan juga untuk orang lain itulah yang dimaksudkan dengan amal salih.

Amal salih tidak dapat diukur oleh banyaknya sumbangan yang kita berikan, akan tetapi diukur oleh banyaknya manfaat yang kita berikan kepada orang lain. Setiap perbuatan yang dapat menghapuskan penderitaan orang yang susah, semuanya dianggap ibadat yang amat bernilai di sisi agama dan berat timbangannya di sisi Allah s.w.t meskipun pada pandangan kita sendiri perkara itu remeh sahaja.

Terdapat satu riwayat yang menceritakan bahawa antara penghuni syurga itu ada seekor anjing. Anjing tersebut dikatakan ikut serta bersama pemuda salih (Ashabul Kahfi). Anjing itu dikatakan memberi manfaat dengan menjaga mereka sehingga akhirnya kesemuanya termasuk anjing tertidur itu dengan kuasa Allah s.w.t.

Apabila seseorang individu beramal dengan amal salih ataupun melakukan sesuatu kebaikan yang dapat memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat, maka individu itu dikira lebih baik daripada mereka yang tidak melakukan sesuatu amalan pun.

Ini kerana sumbangan itu memberi saham dalam menjamin kehidupan yang baik yang dikehendaki oleh Islam untuk dihayati oleh manusia. Kebaikan diri individu dalam Islam selalunya dihubungkan dengan kebaikan manusia lain. Neraca kebaikan itu pula ialah menjauhi diri daripada sebarang perkara buruk dan yang diharamkan oleh Allah s.w.t.

Al-Ash’ath bin Qeis, seorang pemuda kabilah Kindah dan merupakan antara pemimpin awal Islam pernah berkata, maksudnya: “Aku tidak mempunyai sebarang kelebihan berbanding kamu, tetapi aku sentiasa mesra dan manis muka terhadap kamu, membelanjakan hartaku terhadapmu dan aku sentiasa menunaikan hak-hak kamu. Maka sesiapa yang melakukan lebih daripada yang aku lakukan, maka tentulah ia lebih baik daripadaku. Tetapi sekiranya aku melakukan sesuatu itu lebih baik daripada mereka, maka sudah tentu aku lebih baik daripada mereka.”

Daripada Jabbar bin Abdullah, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud): “Sebaik-baik manusia ialah orang yang bermanfaat bagi orang lain.” (Riwayat At-Tabrani)

Orang yang salih bukanlah sejenis manusia yang paling panjang sujudnya, bukan orang yang banyak kali mengerjakan haji tetapi orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Ada manusia hidup di dunia tidak berguna langsung, di mana sahaja dia `membuat onar’ dan orang seperti inilah umurnya selalu panjang dan orang yang baik pula lebih cepat diambil Tuhan ketika masih ramai orang memerlukannya.

Orang seperti ini menurut sabda Nabi s.a.w, perut bumi itu lebih baik baginya daripada permukaannya. Ia bermaksud kematian itu lebih baik daripada kehidupan. Sabda Nabi s.a.w lagi yang bermaksud: “Sejahat-jahat manusia ialah mereka yang panjang umurnya dan buruk amalnya.”

Banyak lagi hadis sahih menjelaskan tentang manusia yang ideal mengikut sunnah. Manusia yang ideal adalah manusia yang berhati tulus dan berlidah lurus.

Seorang sahabat pernah bertanya kepada Nabi s.a.w: “Apa yang dimaksud dengan berhati tulus?” Nabi s.a.w menjawab: “Hati yang takwa, bersih, tidak menyimpan dosa, tidak zalim dan tidak dengki.” Nabi s.a.w ditanya lagi: “Sesudah itu siapa?” Kata Nabi: “Yang mengembangkan kehidupan dunia sambil mencintai akhirat.” Kemudian sahabat meneruskan pertanyaan: “Sesudah itu apa lagi?” Nabi s.a.w menjawab: “Mukmin yang berakhlak baik.”

Manakala manusia yang paling jahat pula ialah orang yang suka menyebar fitnah, melaga-lagakan orang yang saling mengasihi, berbuat kejam dan mengganggu kesejahteraan orang lain.

Sesungguhnya, insan yang salih sentiasa kenal dan berwaspada akan ‘jerat’ yang berada di sekelilingnya.

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *