Home » Wacana » Ingatan untuk saudara Muslimahku…

Ingatan untuk saudara Muslimahku…

Oleh HAFEEZ NUR

Majoriti penghuni neraka adalah kaum wanita? Betulkah? Kenyataan ini bukan dibuat secara semberono kerana ia adalah hadis Rasulullah SAW yang sahih, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Hadisnya berbunyi begini: “Di antara tanda-tanda dekatnya Hari Kiamat ialah sedikitnya ilmu (agama), bermaharajalelanya kebodohan dan perzinaan, serta sedikitnya kaum lelaki sehingga untuk 50 orang wanita hanya terdapat satu orang lelaki sahaja.”

Mungkin, akan ada yang mengeluarkan kenyataan bahawa memang sewajarnya kaum wanita menjadi majoriti penghuni neraka kerana diakhir zaman nanti, kaum wanita lebih ramai daripada kaum lelaki (walaupun menurut statistik penduduk dunia pada tahun 2011, kaum lelaki masih melebihi kaum wanita dengan perbandingan 1000:987). Malah, menurut Ibnu Hajar al-Asqalani, diakhir zaman nanti, jumlah kaum lelaki sedikit jika dibandingkan dengan kaum wanita kerana pada masa itu nanti, kelahiran bayi lelaki kurang berbanding bayi perempuan.

Jadi, apakah yang para wanita perlu lakukan untuk menghindarkan diri daripada api neraka? Apakah persiapan yang perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan diri sekali gus menempah jalan menuju syurga yang penuh kenikmatan itu?

Sabda Rasulullah SAW ini boleh dijadikan renungan: “Dan aku melihat neraka. Aku belum pernah sama sekali melihat pemandangan seperti hari itu. Aku lihat majoriti penghuninya adalah para wanita.” Sahabat bertanya, ‘Mengapa para wanita menjadi majoriti penghuni neraka, ya Rasulullah?” Baginda bersabda, ‘Disebabkan kekufuran mereka.’ Kemudian ditanya lagi, ‘Apakah para wanita itu kufur kepada Allah?’ Jawab Baginda, ‘(Tidak, melainkan) mereka kufur kepada suami dan mengkufuri kebaikan (suami). Seandainya engkau berbuat baik kepada salah seorang isteri kalian pada suatu waktu, kemudian suatu saat dia melihat darimu ada sesuatu (yang tidak berkenan dihatinya) nescaya ia akan berkata, ‘Aku sama sekali belum pernah melihat kebaikan darimu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda, “…dan  wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, meliuk-liukkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari mentaati Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan bonggol unta. Mereka tidak masuk syurga dan tidak mendapatkan wangian syurga padahal wanginya boleh dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian,” (HR Muslim dan Ahmad dari Abu Hurairah RA)

Imam Qurthubi berkata, “Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi diri mereka, kecondongan mereka kepada kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka tertipu dengan kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal. Kemudian mereka menyadi penyebab utama berpalingnya kaum lelaki dari akhirat kerana adanya hawa nafsu dalam diri mereka, kebanyakan dari mereka memalingkan diri mereka dan selain mereka dari akhirat, mudah tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap agama dan sukar menerima jika diajak kepada akhirat.” (Jahannam Ahwaluha wa Ahluha: 29-30 dan At Tadzkirah: 369)

 

Muhasabah diri

Nauzubillah min zalik… kes isteri tidak mengiktiraf kebaikan yang dilakukan suami kerana tidak kena dengan kehendak hatinya sangat mudah kita lihat pada masa kini. Malah, tidak mustahil menjadi salah satu punca musnahnya ikatan sebuah perkahwinan. Sedangkan apa yang perlu dilakukan oleh sang isteri adalah bersyukur terhadap apa yang diberikan suaminya.

Jangan…janganlah wahai isteri, kamu kufur terhadap segala kebaikan suamimu kerana Allah SWT tidak akan memandang kepada kamu sepertimana hadis Rasulullah SAW, “Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.” (HR Nasa’i di dalam Al Kubra dari Abdullah bin ‘Amr. Lihat Al Insyirah fi Adabin Nikah: 76)

Lihatlah kepada amaran keras dalam hadis ini wahai para isteri yang mendambakan keredaan Allah SWT dan syurga-Nya. Tidak seharusnya wanita yang mendambakan kenikmatan di akhirat mengkufuri kebaikan yang diberikan oleh sang suami atau meminta-minta dan mengadu hal yang remeh atau sengaja memperbesar-besarkan hal yang kecil. Janganlah kamu menderhakai suamimu melalui lisan dan perbuatanmu.

Ketahuilah bahawa jalan menuju syurga tidaklah dihiasi dengan bunga-bunga nan indah, melainkan dipenuhi dengan rintangan yang berat untuk dilalui oleh manusia kecuali orang-orang yang diberi keteguhan iman oleh Allah SWT. Namun, di hujung jalan itu, pasti ada syurga yang disediakan khas untuk hamba-hamba-Nya yang sabar menempuh segala ujian yang mendatang. Jagalah imanmu terhadap Allah dengan menunaikan ibadah-ibadah wajib dan menjauhi perkara yang diharamkan serta taati suamimu dengan tidak mengkufuri kebaikannya.

Sabda Rasulullah SAW, “Wanita yang meninggal dunia, kemudian suaminya reda terhadapnya, maka ia akan masuk syurga.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah; hasan menurut Tirmidzi). – MAJALAH DAKWAH

Hafeez Nur adalah Penterjemah Bebas dan Ahli Seumur Hidup Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM)

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *