Home » Langit Terbuka » Indonesia cuba sekat pengaruh kumpulan Islam

Indonesia cuba sekat pengaruh kumpulan Islam

JAKARTA 5 Februari  – Kerajaan Indonesia dilaporkan cuba menyekat pengaruh kumpulan konservatif Islam yang melancarkan bantahan terhadap Gabenor Jakarta beragama Kristian, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok tahun lalu, walaupun pakar memberi amaran tindakan itu sukar dilaksanakan.

Barisan Pertahanan Islam (FPI) semakin berpengaruh di negara paling ramai umat Islam di dunia ini walaupun pandangan pertubuhan itu kerap ditolak kerana dikatakan terlalu radikal.

Kumpulan itu pernah me­nyerbu bar yang menjual alkohol ketika Ramadan, memaksa konsert Lady Gaga dibatalkan dan mengetuai demonstrasi terhadap penganjuran pertandingan Miss World di Indonesia.

November lalu, kumpulan tersebut yang diketuai ulama, Rizieq Shihab berjaya menarik penyertaan jutaan penduduk Islam menentang Ahok yang dibicarakan atas dakwaan menghina Islam.

Bantahan besar-besaran ter­ha­dap Ahok yang dituduh menghina al-Quran ketika berkempen untuk pemilihan semula pada pilihan raya lewat bulan ini, menyebabkan kumpulan tersebut kini menjadi tumpuan politik, sekali gus meningkatkan kebimbangan para pemerhati dan sebahagian tokoh dalam kerajaan.

Kini pihak berkuasa dilihat cuba meletakkan kesalahan kepada kumpulan tersebut apabila meningkatkan siasatan ter­hadap Rizieq dan langkah tersebut dilihat turut disokong oleh pentadbiran Presiden, Jo­ko Widodo.

“Ia tidak pernah berlaku. Ini kali pertama Presiden dan kerajaan mencabar kumpulan Islam secara terbuka,” kata penganalisis kumpulan pemikir Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa (CSIS), Tobias Basuki.

Minggu lalu, polis menamakan seorang ulama sebagai suspek kerana didakwa memfitnah pengasas republik itu, Sukarno dan ideologi Indonesia dalam ucapan beberapa tahun lalu. – AFP

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *