Home » Analitis » Indeks syariah cipta sejarah

Indeks syariah cipta sejarah

TARIKH 10 Februari akan tercatat dalam sejarah bukan sahaja buat negara, bahkan seluruh dunia Islam. Kelmarin rasmilah sudah Indeks Syariah Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebenarnya idea dan cetusan awal pembangunan Indeks Syariah Malaysia ini diilhamkan oleh Najib sendiri. Idea ini tercetus apabila dalam satu pertemuan tertutup dengan pimpinan NGO Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada penghujung 2013, Perdana Menteri menyuarakan keperluan mengukur pencapaian negara dalam perlaksanaan syariat dan pengembangan syiar Islam.

Malah Perdana Menteri berterusan menyebutkan perkara ini dalam pelbagai forum dan acara, sama ada dianjurkan kerajaan mahupun dalam Perhimpunan Agung Umno.

Idea Perdana Menteri ini seterusnya penulis bawakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau lantas memberi tanggungjawab untuk penulis berhubung dengan pakar-pakar kalangan ahli akademik dan cendekiawan bagi membincangkan lanjut mekanisme pengukuran syariah di negara ini.

Mujurlah penulis masih mempunyai jaringan persahabatan yang luas dengan para akademik di dalam dan luar negara. Malah penulis sendiri pernah terlibat dengan organisasi antarabangsa iaitu Islamic Research and Training Institute (IRTI) di bawah Bank Pembangunan Islam berpusat di IDB beberapa tahun sebelum berkhidmat di Yadim dalam usaha membangunkan indeks syariah.

Namun usaha tersebut yang melibatkan lebih 15 buah negara sehingga hari ini belum menampakkan sebarang hasil. Bukan mudah untuk mengkoordinasi pelbagai negara untuk lakukan kerja-kerja penyelidikan seperti ini.

Dalam dunia akademik dan penyelidikan, alat atau mekanisme untuk mengukur sesuatu pencapaian dipanggil indeks. Sebelum ini memang telah banyak indeks dihasilkan untuk mengukur pelbagai sektor dan aspek kehidupan.

Sebagai contoh Indeks Pembangunan Manusia atau Human Development Index yang mengukur pencapaian pembangunan modal insan sesebuah negara. Indeks Persepsi Rasuah yang mengukur dan menilai pencapaian sesebuah institusi mahupun negara dalam isu-isu rasuah dan penyelewengan.

Sebab itulah apabila idea untuk mengukur pencapaian dalam memartabat dan melaksanakan syariah, maka tidak salah untuk mengambil pendekatan atau lebih tepat metodologi sama dengan indeks-indeks lain.

Walau bagaimanapun elemen atau komponen yang penting ialah untuk mengenal pasti asas-asas dan aspek-aspek syariah yang ingin diukur dan dinilai.

Menyedari kepentingan membangunkan indeks syariah yang holistik, komprehensif dan meliputi pelbagai sektor penting kehidupan, maka Jakim diamanahkan Menteri untuk menyelaras kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik utama daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kumpulan yang dikepalai Rektor UIA sendiri Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin dan Datuk Aidit Ghazali telah mengatur penglibatan hampir 200 pakar dalam bidang-bidang yang ingin dinilai aspek pematuhan piawaian syariah.

Piawaian syariah dimaksudkan ini ialah berpandukan kepada lima aspek atau matlamat syariah yang disebut sebagai Maqasid al-Syariah. Ini termasuklah dalam aspek pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Sebagai contoh, apabila hendak dinilai sektor perundangan umpamanya, para penyelidik akan mengenal pasti aspek-aspek perundangan yang ada dalam negara kita sama ada benar-benar memenuhi tuntutan syariah dalam menjaga lima matlamat atau istilah syaraknya Dharuriyah al-Khamsah.

Ini bermakna kalaupun ada undang-undang yang tidak berlabel Islam tetapi memenuhi tuntutan syariat maka ia tetap dianggap patuh syariah.

Demikian juga dalam sektor ekonomi, pengukuran indeks syariah tidak hanya bersandarkan kepada institusi-institusi, dasar-dasar, program-program yang berlabel dan berjenama Islam seperti perbankan atau kewangan Islam.

Aspek-aspek lain dalam pengurusan ekonomi yang juga memenuhi tuntutan prinsip dan aspirasi syarak seperti pembasmian kemiskinan ataupun kesaksamaan dalam pengagihan kekayaan juga harus dilihat daripada neraca syariat.

Ini kerana pembasmian kemiskinan merupakan tuntutan syarak sehinggakan Nabi SAW sendiri menitik beratkan aspek menangani kemiskinan kerana menyifatkan kefakiran adalah dekat dengan kekufuran.

Seiring dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang hakikatnya memberi satu indikasi betapa pentingnya kerajaan memartabatkan agenda Islam dalam pentadbiran dan pemerintahannya.

Justeru dengan adanya indeks syariah ini tentu sekali kerajaan dapat menentukan apakah lagi yang lompong dalam dasar-dasar dan program-program yang perlu ditambah baik bagi menuju kepada kesempurnaan.

Memanglah amat mustahil untuk capai kesempurnaan dalam melaksanakan tuntutan syariah. Namun apa yang lebih mustahak untuk kita sama-sama berusaha bagi menyempurnakannya. Moga-moga usaha ini diberkati oleh Yang Maha Berkuasa.

Sumber daripada www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *